November 24, 2015

Bertukar nyawa

Anggota bomba melakukan operasi mencari mangsa lemas FELDA Pasoh 1, Jelebu, petang tadi. - Foto ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

Jelebu: Seorang lelaki bagaikan bertukar nyawa dengan budak yang diselamatkan kerana sebaik berjaya menyelamatkan budak berkenaan daripada lemas, dia pula tenggelam dalam sungai di ladang kelapa sawit FELDA Pasoh 1, di sini, dan mati lemas petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Hussairi Abdul Wahab, 43, bersama beberapa rakan sedang mandi di sungai berkenaan apabila melihat seorang budak lelaki berusia sembilan tahun terkapai-kapai, dipercayai lemas.

Difahamkan mangsa segera menyelam untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dan berjaya menolaknya ke tepi namun dia kemudiannya tenggelam lalu hilang. Usaha mencarinya oleh beberapa rakannya gagal lalu mereka menghubungi bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Shaharudin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.11 petang dan sebuah jentera dengan lima anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat FELDA Pasoh 1.

Katanya, mangsa ditemui pada jam 7.03 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jelebu di sini, untuk bedah siasat.

myMetro 23 November 2015


Lelaki lemas ketika selamatkan anak saudara

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa dari dasar sungai, kelmarin.

JELEBU - Tindakan seorang lelaki yang mahu menyelamatkan anak saudaranya daripada lemas di sebuah sungai di kebun kelapa sawit di Felda Pasoh 1, di sini, kelmarin, berakhir dengan tragedi memilukan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Husairi Wahab, 43, meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya berusia sembilan tahun itu.

Difahamkan, mangsa dan anak saudaranya itu bersama rakan-rakan bermandi-manda di sungai yang dikenali sebagai Sungai Pijot oleh penduduk kampung.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Shaharudin Hattan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.11 petang.

“Sebuah jentera membabitkan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 6.50 petang.

“Sebaik tiba, rakan mangsa menunjukkan lokasi terakhir mangsa dilihat terkapai-kapai di dalam sungai tersebut. Usaha mencari diteruskan dan mangsa ditemui di dasar sungai yang kedalaman empat meter itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari dasar sungai menggunakan tali.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Klawang untuk bedah siasat.

“Anak saudara lelaki mangsa bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sinar Harian 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment