November 9, 2015

Berhenti kerja demi anak

Norlizawati bersama anaknya yang lumpuh menggunakan kerusi roda baru.

Kota Bharu: Seorang ibu dua anak sanggup berhenti kerja semata-mata mahu memberi tumpuan menjaga anak sulung yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit Celebral Palsy sejak dilahirkan.

Norlizawati Sanusi, 33, berkata, anaknya Nurfalisha Mohamad Fazli, 5, memerlukan perhatian khusus kerana tidak mampu bergerak dan hanya terbaring.

Anaknya juga yang tidak mampu bercakap itu terpaksa disuap makan dan minum.

“Nurfalisha hanya mampu menangis jika lapar dan saya akan letakkan dia atas kerusi bayi untuk menyuap makan dan minumnya malah dia tidak boleh makan makanan keras.

“Sehubungan itu, saya tiada pilihan terpaksa berhenti kerja sebagai penjual kuih untuk memberi perhatian kepada Nurfalisha,” katanya selepas menerima lawatan Naib Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa, Wan Shahrul Azuan Abdul Azez yang menyerahkan bantuan sebuah kerusi roda serba guna bernilai lebih RM4,000 kepada kanak-kanak itu, semalam.

Kini, keluarganya bergantung kepada suaminya, Mohamad Fazli Mohd Shaari, 29, yang bekerja sebagai buruh di luar Kelantan.

“Suami hanya mampu memberi perbelanjaan untuk saya dan dua anak, namun keadaan Nurfalisha memerlukan penjagaan rapi termasuk makanan berkhasiat.

“Nasib baik kami menerima bantuan bulanan untuk anak orang kurang upaya (OKU) terlantar RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Wan Shahrul Azuan berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga Norlizawati yang mempunyai anak OKU.

“Bantuan itu untuk meringankan beban keluarga berkenaan kerana keadaan Nurfalisha yang dilahirkan cacat sejak lahir memerlukan sebuah kerusi roda yang elok dan lebih selesa.

“Kerusi sorong bayi yang dipakainya sejak beberapa tahun lalu sudah tidak sesuai kerana keadaan tulang belakang kanak-kanak itu masih lembut dan memerlukan sebuah kerusi roda pelbagai guna untuk memastikan Nurfalisha mampu duduk dan berbaring lebih selesa,” katanya.

myMetro 9 November 2015

0 comments:

Post a Comment