November 12, 2015

Bekas suami tinggalkan 450 saman trafik

Wanita lapor polis tidak sanggup terbeban 20 bulan tunggakan bank selepas bercerai

SIBU: Seorang wanita di sini mungkin menjadi penerima saman terbanyak di negara ini apabila mempunyai sejumlah 450 saman kesalahan trafik kereta Kancil yang didaftar atas namanya.

Rimas keadaan itu, pengadu, 25, tampil membuat laporan polis apabila menerima panggilan daripada bank memaklumkan pinjaman sewa beli kereta Kancil itu tertunggak 20 bulan.

Walaupun pada hakikatnya kesalahan itu hanya di atas kertas, pengadu mendakwa kereta itu diguna bekas suaminya sejak mereka bercerai beberapa tahun lalu.

Daripada jumlah 450 saman itu, 300 merupakan kesalahan letak kereta dan 150 lagi disebabkan kesalahan nombor plat.

Pengadu memberitahu bahawa dia pernah menghubungi bekas suaminya untuk menyelesaikan dua masalah tersebut namun dia hanya melafazkan janji kosong.

Pengadu memberitahu pemberita bahawa bekas suaminya seolah-olah sengaja menyusahkannya dan enggan bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkaitan kereta itu.

“Apabila saya bertanya pasal kereta itu, dia hanya menjawab semuanya akan diuruskan,” keluhnya.

Apabila pihak polis menghubungi bekas suami pengadu, dia memberitahu bahawa kereta tersebut sedang dibaiki di bengkel.

Pengadu membuat laporan polis kerana dia enggan bertanggungjawab atas kesalahan yang dilaku oleh bekas suaminya.

Utusan Borneo 6 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment