November 23, 2015

Bekas Speaker DUN Pahang meninggal


Kuantan: Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Razali Wan Mahussin, meninggal dunia, pada 5.30 petang, hari ini.

Arwah dikatakan meninggal dunia berikutan komplikasi kencing manis dan darah tinggi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata Wan Razali, 64, meninggal di Kuantan Medical Centre (KMC).

“Jenazah telah dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk disembahyangkan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, sebaik selesai jenazah akan dibawa kampung Belimbing Pekan untuk dikebumikan, malam ini.

Wan Mohamad Razali adalah bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang antara 11 Disember 1999 hingga 3 April 2013.

Beliau juga pernah menjadi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Exco) pada 26 Februari 1997 memegang portfolio Exco Belia dan Sukan.

Allahyarham juga adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini untuk empat penggal berturut-turut selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1982, 1986, 1990 dan 1995.

Bagaimanapun, pada PRU ke-10 pada tahun 1999, Allahyarham tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Mohd Jafri Ab Rashid.

Beliau mula menyertai dunia politik pada tahun 1980 sebagai Ketua UMNO Cawangan Kampung Belimbing sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan pada 1994.

Allahyarham pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang peringkat daerah Pekan pada 2013. – Bernama

myMetro 22 November 2015

0 comments:

Post a Comment