November 18, 2015

Bekas jaguh bina badan uzur

SAMSUL ketika ditemui di wad Hospital Melaka.

Melaka: “Saya terima ketentuan yang menimpa diri dan terus tabah untuk berhadapan dengan empat penyakit yang dihidapi sekarang,” kata bekas jaguh bina badan negara, Samsul Mat Juah, 49, yang terlantar di wad Hospital Melaka, di sini, selama dua minggu selepas doktor mengesahkan dia mengalami komplikasi buah pinggang, gout, gastrik dan batu karang.

Katanya, sepanjang berada di hospital, dia menjalani tiga kali rawatan hemodialisis mencuci darah berikutan keadaan buah pinggangnya yang terjejas.

Menurutnya, sebelum ini dia menetap di Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai jurulatih bina badan, namun mengambil keputusan untuk pulang ke Melaka dan menetap di Kampung Solok Bukit Baru, Duyong, Melaka Tengah bersama isteri, Norazizah Abd Mamat, 46, serta tiga anak berusia 8, 9 dan 18 tahun.

“Selepas pulang ke Melaka, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mengambil upah melakukan kerja kampung dan mengusahakan kebun untuk menyara keluarga selain menyertai pertandingan bina badan dianjurkan di negeri ini.

“Namun, sejak dua minggu lalu, kesihatan saya merosot dan hasil pemeriksaan dilakukan doktor mengesahkan saya menghidap empat penyakit berkenaan selain sudah lama menghidap asma,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat, namun diarahkan doktor membuat pemeriksaan susulan untuk mengetahui perkembangan terkini masalah kesihatannya di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Katanya, sejak ditahan di wad, dia terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk membiayai perbelanjaan persekolahan tiga anak selain membeli keperluan harian kerana isterinya tidak bekerja.

Samsul berkata, terlantar sendirian lebih dua minggu adalah tempoh yang amat menyeksakan bagi dirinya terutamanya mengenangkan dia tidak mampu menjana pendapatan atau menikmati apa-apa faedah sebagai bekas atlet.

myMetro 18 November 2015



0 comments:

Post a Comment