November 25, 2015

Bekas anggota 302 AW rayu bantuan

Mat Yusof (kiri) dan Zohari (tiga, kiri) bertanya khabar Muhammad Fabir ketika mengunjungi bekas rakan seperjuangan mereka itu di Kampung Gunung, Jeli.

JELI - Seorang bekas anggota tentera dari Kampung Gunung, Batu Melintang, dekat sini, yang menghidap beberapa penyakit kronik sejak 13 tahun lalu, merayu bantuan pelbagai pihak bagi meringankan beban sara hidupnya.

Muhammad Fabir Jusoh, 58, yang disahkan menghidap penyakit paru-paru berair, lemah jantung, buah pinggang, diabetes, darah tinggi dan angin ahmar, kini tidak boleh berjalan serta hanya mampu duduk.

Keadaan kesihatannya itu menyebabkan bekas anggota 302 Infantri Askar Wataniah (AW) Kem Batu Melintang, Jeli terbabit terpaksa memakai pek air kencing dan lampin pakai buang.

Menurut Muhammad Fabir, sebagai bekas tentera tidak berpencen dan tidak mampu bekerja, dia dan isteri, Salmah Muhammad, 52, hanya mengharapkan pemberian anak tunggal mereka untuk sara hidup seharian.

“Nak terlalu harapkan pemberian anak pun tidak boleh juga kerana dia pun sudah berumah tangga dan ada tanggungan sendiri,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa bekas rakan seperjuangannya, kelmarin.

Kunjungan ahli Grup Saem Sahabat 302 itu diketuai Penasihatnya, Mat Yusof Mohamad dan turut disertai wakil Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia.

Hadir sama, Pengerusi Grup Saem Sahabat 302, Zohari Isa dan juga Timbalannya, Tuan Omar Tuan Soh.

Muhammad Fabir berkata, dia mula berkhidmat sebagai pemandu dalam pasukan tersebut pada 13 Julai 1978, sebelum menamatkan perkhidmatan pada 5 Oktober 1993.

“Saya pernah mohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas jatuh sakit, tetapi sampai sekarang masih belum ada maklum balas.

“Sempena kedatangan wakil JHEV hari ini (kelmarin), saya juga merayu jabatan berkenaan agar dapat mempertimbangkan bantuan sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fabir melahirkan rasa terharu atas kedatangan bekas rakan seperjuangan yang prihatin dengan kesusahan hidup dihadapinya.

Sinar Harian 24 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment