November 30, 2015

Bayi pramatang perlu RM13,000 lagi


AYER KEROH - Setakat ini sudah lebih RM7,000 hasil sumbangan orang ramai diterima Hairolnizam Haron, 28, bapa kepada seorang bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan dan mengalami penyakit paru-paru, jantung berlubang serta saraf mata.

Justeru, sebanyak RM13,000 diperlukan lagi bagi membantu menanggung kos sebanyak RM20,000 untuk membolehkan bayi berkenaan, Nur Uzma Hanania Hairolnizam, berusia empat bulan mendapatkan suntikan khas yang dinamakan Palivizumab.

Suntikan tersebut bagi mengelakkan bayi berkenaan yang ketika dilahirkan hanya seberat 0.65 kilogram terkena komplikasi paru-paru dan ia perlu dilakukan sebanyak lima kali dengan kos RM4,000 setiap kali mengambil suntikan.

Menurut Hairolnizam, dia yang hanya kerja kampung tidak mampu menanggung kos berkenaan apatah lagi dengan pendapatan yang tidak tetap.

Justeru, dia merayu simpati orang ramai supaya dapat membantu menampung kos berkenaan bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung anaknya yang masih kecil.

“Alhamdulillah sejak kisah anak saya dapat liputan media terutama akhbar Sinar Harian, sebanyak RM7,000 lebih telah masuk ke akaun hasil sumbangan mereka yang berhati mulia.

“Kini, saya hanya perlu lebih kurang RM13,000 lagi bagi membiayai kos keseluruhan keperluan bagi anak saya mendapatkan suntikan tersebut,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, kerisauan Hasrolnizam Haron, 28, dan isterinya, Norhidayah Nasarudin, 27,  menanggung kos rawatan anaknya yang berpenyakit paru-paru kronik.

Lebih menyedihkan, bayi yang dilahirkan pra matang atau tidak cukup bulan itu turut disahkan mempunyai masalah jantung berlubang dan penyakit saraf mata sehingga boleh menjejaskan penglihatannya sekira tidak dirawat dengan segera.

Sinar Harian 29  Nov 2015

0 comments:

Post a Comment