November 25, 2015

Bapa mohon bantu cari anak hilang


Jasni menunjukkan gambar anak saudaranya, Wan Mastura atau dipanggil Ira yang hilang sejak lapan hari lalu.

KEMAMAN - Seorang nelayan resah apabila anak gadisnya yang hilang sejak lapan hari lalu, masih gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk menyebarkan kes kehilangan dan gambar anaknya itu di laman sosial.

Wan Adnan Wan Mamat, 55, berkata, anak ketiganya itu, Wan Mastura, 25, atau lebih mesra dipanggil Ira disedari tiada di rumah mereka di Kampung Geliga, di sini, pada jam 10.30 malam, 11 November lalu.

Wan Adnan yang lebih dikenali dengan nama Pok Ya berkata, sejak itu usaha pencarian dilakukan di sekitar Kampung Geliga dan kampung bersebelahan mereka, Kuala Kemaman dengan dibantu sanak saudara, kenalan serta penduduk.

“Ada orang kampung nampak Ira berjalan dengan kanak-kanak di kawasan Kampung Geliga pada hari kedua dan ketiga dia tak balik ke rumah.

“Pada hari keempat pula ada orang nampak dia di Kuala Kemaman. Tapi yang peliknya, masa kami cari, kami tak terserampak langsung dengannya,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Chukai pada jam 12.30 tengah hari, 13 November lalu.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Jasni Mohamad, 41, berkata, usaha pencarian agak sukar kerana Ira kebelakangan ini berperwatakan pelik kerana dia akan lari bersembunyi jika melihat orang memandangnya dari jauh.

Kata Jasni, kesihatannya merosot sejak lima tahun lalu dan dia gemar bercakap sendirian akibat penyakit misteri dipercayai terkena buatan orang.

“Penyakitnya makin teruk sejak dua tahun setengah kebelakangan ini kerana dia tak mahu lagi berubat, yang terbaru dia pergi berubat sehari sebelum dia hilang, bapanya bawa dia berubat ke Paka, tapi dia tak mahu turun dari kereta dan terpaksalah ustaz merawat dalam keadaan Ira duduk dalam kereta," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ternampak Ira atau memiliki maklumat mengenai gadis itu diharap dapat menghubungi Wan Adnan menerusi talian 013-9154288 atau Jasni (012-9229284).

Sinar Harian 19 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment