November 24, 2015

Bapa, anak maut kemalangan




Gambar kenangan Mohamad Fadhir (kanan) bersama isteri, Noorharzuin (kiri) dan dua anak mereka, Mohamad Adam Faris (depan) dan Noor Adalea Fatiha (didukung).

Dua beranak maut kemalangan

IPOH – Perjalanan pulang lima sekeluarga selepas menziarahi ahli keluarga yang sakit ber­akhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilo­meter 280.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam berhampiran susur keluar Ipoh Selatan itu, mangsa, Mohamad Fadhir Ismail, 35, dan anak sulungnya, Mohamad Adam Faris, 5, maut di tempat kejadian.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kereta yang turut dinaiki oleh isteri Mohamad Fadhir, Noorharzuin Halim, 32, anak bongsu pasangan berkenaan, Noor Adalea Fatiha, 1, serta anak saudara mangsa, Ummi Kalthum Tajuddin, 21, dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Gombak dekat Kuala Lumpur.

Kosmo 24 Nov 2015


Dua beranak maut kemalangan

IPOH - Dua maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki lima sekeluarga terlibat dalam kemalangan berhampiran Kilometer 280.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Tol Ipoh Selatan, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohamad Fadhir Ismail, 35, dan anak sulungnya, Mohamad Adam Faris, 5, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Noorharzuin Halim, 32, anak perempuan, Noor Adalea Fatiha, setahun, dan anak saudara, Ummi Kalthum Tajuddin, 21, cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati, kereta Mitsubishi Airtrek dipandu Mohamad Fadhir yang dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Gombak, hilang kawalan dan berpusing lalu terbabas melanggar besi penghadang di kiri jalan.

Menurutnya, kemalangan pada jam 10.15 malam itu, mengakibatkan pemandu, Mohamad Fadhir dan anaknya, Mohamad Adam Faris yang berada di tempat duduk bahagian penumpang sebelah kanan maut di tempat kejadian.

“Tiga yang lain cedera di bahu, muka dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Wan Sharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Sementara itu, ibu mangsa, Hamidah Adnan, 59, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan keluarga terbabit, kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, Mohamad Fadhir, anak ketiga daripada lapan beradik itu sempat menjamah nasi Arab dimasaknya yang  menjadi kegemaran mangsa dan anak sulungnya.

“Setiap hari saya tunggu mereka sekeluarga datang ke rumah kerana ingin bertemu dengan cucu kesayangan.

“Saya jaga arwah cucu sejak dia berusia setahun namun sekarang kami jarang berjumpa sejak arwah mula belajar di taska,” katanya ketika di pekarangan Jabatan Forensik HRPB, di sini semalam.

Dia yang amat rapat dengan Mohamad Adam Faris berkata, ketika kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan ke Gombak selepas melawat keluarga menantunya yang sakit di Pulau Pinang.

“Anak saudara perempuan menantu saya yang sedang menuntut di sebuah IPTA turut ikut mereka sekeluarga,” katanya.

Hamidah berkata, mereka sekeluarga tinggal di Bukit Jalil dan anaknya bertugas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) manakala menantunya bekerja di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Jenazah Mohamad Fadhir dan anaknya dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Cheras Jaya, Balakong.

Sinar Harian 24 Nov 2015


Nasi Arab juadah terakhir anak

Keadaan kereta Mohamad Fadhir Ismail yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 280.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Ipoh, Perak, semalam. Utusan/Kamal Basir Wahab 

IPOH 23 Nov. – Seorang ibu tidak menyangka hidangan nasi Arab yang menjadi kegemaran anaknya, Mohamad Fadhir Ismail, 35, menjadi masakan terakhir yang dapat disediakannya sebelum anak lelakinya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 280.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, malam tadi.

Selain Mohamad Fadhir yang me­rupakan anak ketiga dari lapan adik beradik, turut maut dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu adalah anak sulung mangsa, Mohamad Adam Faris yang berusia lima tahun.

Anak beranak itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut Hamidah Adnan, 59, hidangan nasi Arab itu disediakannya dua minggu lalu semasa Mohamad Fadhir sekeluarga datang menziarahinya di Balakong, Selangor.

“Nasi Arab memang makanan ke­gemarannya dan setiap kali datang ke rumah, pasti dia meminta saya masakkan untuknya kerana dia hanya akan makan kalau saya yang masak.

“Saya tengok dia cukup berselera menikmati hidangan itu. Tidak sangka itu juadah terakhir yang dapat saya masak untuknya.

“Meskipun amat sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda dengan takdir ini dan berharap agar menantu saya tabah menerima suratan yang telah ditetapkan oleh Allah itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Dalam kejadian malam tadi itu, Mohamad Fadhir yang merupakan kakitangan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) dan anaknya, Mohamad Adam Faris maut apabila kereta yang mereka naiki sekeluarga terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 280.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar Ipoh Selatan.

Hamidah berkata, dia juga tidak mengetahui langsung tentang pemergian mereka sekeluarga ke Pulau Pinang dan amat terkejut sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kemalangan berkenaan.

“Saya dengan Mohamad Adam Faris juga amat rapat kerana sejak kecil hingga dia berusia empat tahun, saya yang menjaganya. Pasti saya amat merindukan telatahnya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintenden Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kereta itu yang turut dinaiki oleh isteri mangsa, Noorharzuin Halim, 32, anak bongsu, Noor Adalea Fatiha, 1, serta anak saudara mangsa, Ummi Kalthum Tajuddin, 21. dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Gombak, Kuala Lumpur.

“Mangsa sekeluarga pergi ke Pulau Pinang pada Sabtu lalu untuk menziarahi nenek Noorhazuin yang sakit sebelum pulang ke rumah mereka di Gombak malam tadi.

“Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Mistsubishi Airtrek yang dipandu Mohamad Fadhir dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi kiri jalan.

“Akibatnya, kedua-dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera ringan dan dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Wan Sharuddin, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cheras Jaya.

Utusan 24 Nov 2015






0 comments:

Post a Comment