November 21, 2015

'Banjir tahun ini lebih buruk'

Antara penduduk Kampung Parit Mahang yang dilanda banjir. FOTO Nabihah Kamal.

Kuala Selangor: "Saya kerugian lebih RM15,000 akibat bencana banjir ini," kata penduduk Kampung Parit Mahang, Yusof Surip, 57, yang kini terpaksa menumpang teduh di rumah anaknya di Bukit Kucing.

Menurutnya, dia tidak sempat mengalihkan keretanya di halaman rumah kerana paras air meningkat mendadak pada Selasa lalu.

"Air mula naik pada 5 petang menyebabkan kereta saya rosak di bahagian enjin kerana ditengelami banjir.

"Antara kerosakkan lain adalah barangan elektrik dan peralatan rumah," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Rabiah Sulaiman,56, berkata, banjir pada tahun ini lebih buruk berbanding tahun lepas.

"Banjir yang penduduk alami pada tahun ini sangat berbeza kerana paras air yang tinggi menyebabkan kami terpaksa berpindah di pusat pemindahan sementara.

"Kami turut khuatir dengan haiwan berbahaya seperti ular kerana kawasan sekitar kampung adalah kawasan ladang kelapa sawit," katanya.

Menurutnya, penduduk dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah atas faktor keselamatan.

myMetro 20 November 2015


Mangsa banjir Kuala Selangor meningkat

KEADAAN banjir di Kuala Selangor semakin pulih. FOTO Ekhwan Haque

Kuala Selangor: Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor meningkat 15 mangsa kepada 596 mangsa membabitkan 125 keluarga di enam pusat pemindahan daerah ini setakat 10.30 pagi tadi.

Pengerusi Operasi Banjir Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, setakat ini keadaan banjir di daerah ini semakin pulih selepas operasi pengepaman dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Beliau berkata, mereka bersedia kerana ramalan berlaku air pasang besar selama dua hari bermula esok.

"Kami bersedia untuk menghadapi situasi itu dan segala keperluan untuk mangsa banjir berada dalam keadaan mencukupi.

"Kami juga dapat maklumat air di beberapa kampung di Bestari Jaya sudah dinaiki air tapi tiada penduduk dipindahkan setakat ini," katanya dalam sidang media di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di sini, hari ini.

myMetro 23 November 2015


Perbesar parit hadapi banjir besar

Kuala Selangor: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor mengambil inisiatif membersih serta memperbesarkan perparitan di sekitar Kampung Parit Mahang sebagai persediaan menghadapi banjir.

Menurut jurucakap JPS, pihaknya bertungkus-lumus mengorek parit membuang sampah serta memperluas parit bagi memudahkan pengaliran air ke sungai.

"JPS turut menggunakan enjin pengepam bagi menyedut air keluar dari beberapa lokasi kunci air.

"Operasi mengepam ini dijalankan 24 jam sebagai langkah membantu penduduk yang rumah mereka masih digenangi air banjir,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Mahang Baharom Hussin berkata, 408 mangsa daripada 75 keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Kampung Parit Mahang.

"Penduduk kampung diminta bersiap sedia kerana kami dimaklumkan pada 24 hingga 29 November, bakal berlaku banjir besar akibat angin monsun yang membawa hujan lebat.

" Bagaimanapun, JPS sedang berusaha mengepam air keluar di lapan pintu kawalan air sekitar kampung dan menutup pintu kawalan itu untuk mengelak banjir besar berlaku," katanya ketika ditemui Harian Metro.

myMetro 23 November 2015



0 comments:

Post a Comment