November 17, 2015

Banjir kilat di Shah Alam


Stesen Komuter Batu Tiga dan landasan di situ ditenggelami banjir. FOTO ihsan pembaca

Shah Alam: Hujan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan antaranya Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.

Hujan sejak 1 tengah hari itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air selain kenderaan terperangkap.

Turut terjejas adalah operasi Stesen Komuter Batu Tiga kerana landasan kereta api di situ dinaiki air.

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika dihubungi berkata, perkhidmatan komuter dan kereta api di stesen berkenaan tidak dapat beroperasi buat sementara waktu kerana landasannya dinaiki air.

Setakat ini, jalan utama keluar masuk ke bandar ini turut mengalami kesesakan lalu lintas namun masih terkawal.

myMetro 16 November 2015


Air naik selepas hujan dua jam

HUJAN lebat mengakibat banjir kilat di kawasan letak kenderaan awam di Seksyen 13, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir.

Shah Alam: Hujan lebat kira-kira dua jam mulai 3 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air sehingga menjejaskan pergerakan lalu lintas.

Antara kawasan yang terjejas ialah di jalan sekitar Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Stesen Komuter Batu Tiga, Taman Subang Intan, Seksyen 9, Seksyen 7, Seksyen 2, Plaza Tol Sungai Rasau serta Padang Jawa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, banjir sedalam kira-kira 0.3 hingga 0.6 meter direkodkan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan di kawasan berkenaan.

Sementara itu sehingga 6 petang tadi 68 orang daripada 17 keluarga dari Kampung Bukit Kerayong, Jeram dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Kerayong.

Manakala 17 keluarga membabitkan 59 orang dari Kampung Sri Sentosa Bestari Jaya turut dipindahkan ke pusat pemindahan di surau Ladang Tuan Mee.

Dalam pada itu 13 keluarga dengan jumlah mangsa 49 orang dari Kampung Parit Mahang Kuala Selangor turut dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan.

myMetro 17 November 2015






0 comments:

Post a Comment