November 15, 2015

Banjir ketiga dalam seminggu

Sungai Ketil yang melimpah hingga menenggelamkan jambatan kecil. - Foto SAFURI KAMARUDIN

Sebuah rumah penduduk Kampung Seri Ketengga yang dilanda banjir. - Foto SAFURI KAMARUDIN 

Keadaan rumah penduduk yang ditenggelami limpahan air Sungai Ketil. - Foto SAFURI KAMARUDIN 

Baling: Sebanyak 10 rumah di Kampung Seri Ketengga, di sini, dinaiki air berikutan hujan lebat menyebabkan 30 penduduk dipindahkan ke surau kampung berkenaan petang tadi.

Difahamkan hujan lebat bermula jam 3.30 petang tadi menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan ada rumah penduduk ditenggelami sehingga paras tingkap.

Banjir kali ketiga itu berlaku dalam tempoh seminggu dan paling teruk. Sebelum ini tidak berlaku banjir berulang dalam masa singkat.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Shamsul Izrin Isahak berkata, penduduk di Kampung Tanjung Pari, Charok Bendang, Bukit Sebelah, Batu 60, Kampung Weng dan Kampung Baru juga diminta berhati-hati kerana dibimbangi air melimpah ke kampung mereka.

myMetro 15 November 2015


Pilu pakaian, buku sekolah musnah

Baling: Seorang pelajar tingkatan lima yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya mampu menangis apabila melihat pakaian dan buku sekolah musnah dalam kejadian banjir, semalam.

Pelajar terbabit, Intan Nur Nadia Mohd Nasir, 17, berkata, ketika kejadian itu, dia keluar ke rumah neneknya, Tom Saad, 83, tidak jauh dari kediaman mereka di Kampung Seri Ketengga, di sini.

Menurutnya, ketika air naik, hanya bapanya Mohd Nasir Abdullah, 54, ibu, Fadiah Hasan, 50, dan adiknya, Mohd Akmal berusia sembilan tahun berada di rumah.

“Bagaimanapun, selepas pulang ke rumah saya dapati semua pakaian dan buku sekolah musnah dan gagal diselamatkan.

“Buku rujukan termasuk buku teks Matematik yang ingin dibaca sebelum menjawab peperiksaan esok (hari ini) juga musnah,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Siong, di sini.

Fadiah pula berkata, air naik terlalu cepat dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa apabila hujan bermula jam 3.30 petang.

“Selepas dua jam kemudian tiba-tiba air naik mendadak sehingga tidak sempat berbuat apa-apa sebelum berlari keluar menyelamatkan diri.

“Kejadian banjir ini paling teruk kerana kami sekeluarga langsung tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya.

Jumlah mangsa yang dipindahkan sebanyak 38 keluarga membabitkan 135 mangsa setakat jam 7.30 malam semalam.

Antara kampung yang terbabit Kampung Seri Ketengga, Kampung Batu 60 dan Kampung Tanjung Pari.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Shamsul Izrin Isahak berkata, penduduk di Kampung Charok Bendang, Bukit Sebelah, Kampung Weng dan Kampung Baru juga diminta berhati-hati kerana dibimbangi air melimpah ke kampung mereka.

Menurutnya, bantuan kepada mangsa banjir akan disegerakan untuk meringankan beban mereka.

myMetro 16 November 2015

0 comments:

Post a Comment