November 17, 2015

Bandar raya JB banjir kilat

Keadaan kawasan yang ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca

Johor Bahru: Hujan lebat dan air pasang penuh menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru (JB) dilanda banjir kilat dengan air sedalam satu meter kira- kira 12.30 tengahari tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Johor Bahru Leftenan Muda (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.39 tengah hari berhubung perkara berkenaan daripada orang awam dan menggerakkan dua aset bersama 10 anggota untuk tugas menyelamat.

"Berdasarkan maklumat awal daripada Pusat Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, punca banjir kilat disebabkan hujan lebat dan air pasang penuh yang berlaku serentak.

"Kami menghantar bantuan ke beberapa kawasan yang teruk terjejas iaitu di Jalan Wong Ah Fook dan berjaya mengeluarkan seorang wanita berusia 20-an yang terperangkap dalam keretanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Jalan Wong Ah Fook kira-kira 12.48 tengahari dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bersama enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Aziz ke tempat kejadian.

myMetro 16 November 2015



0 comments:

Post a Comment