November 17, 2015

Azab 45 minit

ANGGOTA bomba membawa Leong keluar dari kawasan perhutanan Air Hitam, Bukit Wawasan, semalam.

Puchong: Seorang wanita menanggung azab 45 minit selepas dihempap pokok tumbang di kawasan perhutanan Air Hitam, Bukit Wawasan dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi, mangsa, Leong Choi Yoke, 44, biasanya bersama rakan beriadah di kawasan berkenaan.

Sebaik mangsa dan rakan tiba di tempat kejadian, angin kencang menyebabkan dua pokok tumbang dengan satu daripadanya menghempap mangsa.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas sebelum dia terdengar jeritan Leong.

“Saya sempat mengelak ketika pokok itu tumbang, namun Leong tidak sempat lalu dihempap pokok.

“Ketika itu, saya terdengar jeritannya sebelum jatuh terlentang mengerang kesakitan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 30 minit menyelamatkan mangsa kerana keadaan kawasan yang berbukit

“Mangsa patah kaki kiri dan anggota bomba menggunakan alatan memotong untuk mengalihkan pokok sebelum dia dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan,” katanya.

myMetro 16 November 2015


Wanita dihempap pokok meninggal dunia

PUCHONG - Seorang wanita yang dihempap pokok besar ketika melakukan aktiviti rentas hutan di Hutan Simpan Ayer Hitam  (HSAH) berhampiran Taman Wawasan, di sini dilapor meninggal dunia, malam kelmarin.

Mangsa, Leong Chai Yoke, 44, sebelum ini dilapor hanya patah kaki apabila terkena dahan pokok besar yang tiba-tiba tumbang ketika melalui laluan denai di hutan tersebut, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengatakan mangsa dihempap pokok kira-kira jam 11.27 pagi.

Beliau berkata, mangsa pada awalnya dikesan mengalami kecederaan patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Serdang.

Bagaimanapun, Razimi berkata, lebih kurang jam 9.15 malam sepupu mangsa dimaklumkan oleh pihak hospital mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di zon merah.

Mayat mangsa dibedah siasat dan di Hospital Serdang sebelum dituntut keluarganya, semalam.

Sinar Harian 17 Nov 2015




0 comments:

Post a Comment