November 18, 2015

Apa nasib Bernard?

Kuala Lumpur: Nasib tebusan rakyat Malaysia, Bernard Then, 39, yang diculik sekumpulan tujuh lelaki yang lengkap bersenjatakan raifal M-16 dan pistol di Restoran Ocean King, Jalan Batu Sapi, Sandakan, 14 Mei lalu, masih menjadi tanda tanya kerana dia dilaporkan terbunuh selepas dipancung Kumpulan Abu Sayyaf, kira-kira 4 petang tadi, namun pada masa sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menanti pengesahan daripada Filipina mengenai kesahihan laporan itu.

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu, Brigadier-General Alan Arrojado berkata, mangsa dibunuh di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, Filipina.

"Mayat mangsa ditanam di lokasi dia dibunuh. Usaha kini dilakukan bagi mengesan mangsa,” katanya, seperti yang dilaporkan portal berita Straits Times Singapura.

Menurut laporan itu, mangsa dibunuh selepas gagal memenuhi permintaan kumpulan terbabit berhubung wang tebusan.

Pada 8 November lalu, seorang lagi mangsa culik, Thien Nyuk Fun, 50, dibebaskan selepas hampir enam bulan berada dalam tahanan kumpulan penculik.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya memaklumkan satu pertempuran tercetus antara kumpulan penculik berkenaan dengan pihak berkuasa Filipina di kepulauan Jolo, petang tadi.

"PDRM sedang berusaha dapatkan pengesahan dari selatan Filipina.

"Kita doakan Bernard selamat," katanya.

myMetro 17 November 2015


Tebusan rakyat Malaysia dibunuh

TED FEN

MANILA – Seorang rakyat Malaysia, Bernard Ghen Ted Fen, 39, yang menjadi tebusan kumpulan penculik sejak enam bulan lalu dipercayai terbunuh dalam satu pertemburan melibatkan tentera Filipina dengan kumpulan Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo petang semalam.

Seorang pegawai kanan tentera Filipina berkata, Ted Fen yang berasal dari Sarawak telah dibunuh oleh kumpulan militan tersebut dipercayai kerana tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi.

Pegawai berkenaan, Brigedier Jeneral Alan Arrojado berkata, kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Indanan dan diketuai oleh Alden Bagade dan Indang Susukan melakukan pembunuhan itu.

Beliau memberitahu, rundingan sebelum ini gagal sekali gus mendorong kumpulan pengganas itu membunuh mangsa di Taran, Indanan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).

Arrojado yang memetik sumber perisikan tentera berkata, Ted Fen dibunuh dan mayatnya segera ditanam.

Kosmo 18 Nov 2015


'Risikan Filipina kata sahih'

Kuala Lumpur: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan pengesahan daripada Filipina berkaitan dakwaan tebusan rakyat Sarawak dibunuh militan Abu Sayyaf di Jolo.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli perniagaan Bernard Then Ted Fen, 39, dikatakan dipenggal kepalanya berdasarkan maklumat risikan keselamata negara berkenaan.

"Risikan Filipina kata sahih tapi kita minta mereka berkongsi berkaitan maklumat itu segera," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN 2015 di sini, sebentar tadi.

Laporan media semalam menyebut Then dipenggal kepalanya selepas sekumpulan lelaki bersenjata menculik mangsa di restoran makanan laut di Sandakan pada Mei lalu.

Mangsa dilaporkan dipenggal di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

myMetro 18 November 2015


Ayah Bernard belum dapat makluman rasmi

Kuching: "Saya baru menerima berita mengenai kematian anak saya, Bernard Then, 39, pagi tadi, melalui seorang anak di Kuala Lumpur," kata John Then, 72.

Bagaimanapun, John yang ditemui di rumahnya di Satok berkata, dia belum menerima makluman rasmi daripada kerajaan mengenai berita itu.

"Saya terkejut dengan berita kematian Bernard dan susah nak komen panjang kerana sudah menyerahkan semua urusan itu kepada anak yang berada di Kuala Lumpur.

"Kami sekeluarga berharap tidak diganggu dan berikan masa untuk bersendirian kerana masih terkejut serta bersedih dengan apa yang berlaku," katanya.

Kunjungan Harian Metro ke rumah keluarga mangsa pada 3 petang tadi disambut bapa mangsa dan kemudian dia menjawab beberapa soalan yang ditanya sebelum meminta wartawan untuk beredar kerana tidak mahu diganggu.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa termasuk bantuan kaunseling.
"Ketika ini, keluarga meminta supaya tidak diganggu dan apabila mereka sudah bersedia kita akan hantar pegawai kaunseling ke rumah sekiranya diperlukan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya berhati-hati menyebarkan maklumat mengenai kejadian ini dan tunggu pengesahan dari Wisma Putra. Kita serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum memulakan ucapan merasmikan Hari Perkhidmatan Awam 2015, di sini pagi tadi, meminta majlis dihentikan selama seminit dan hadirin bertafakur bagi menghormati kematian Bernard.

Adenan berkata, Bernard adalah rakyat Sarawak dan perlu memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa.

Bernard dilarikan bersama seorang lagi mangsa warga Malaysia, Thien Nyuk Fun, 50, oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari Restoran Ocean King, Sabah pada 7.45 malam, 14 Mei lalu.

Pada 8 November lalu, Thien dibebaskan selepas hampir enam bulan berada dalam tahanan kumpulan penculik.

Dia dibebaskan kira-kira jam 10 malam dan tiba di sini 7 pagi hari keesokannya dengan menaiki bot dari kepulauan Jolo.

myMetro 18 November 2015



Kepala Ted Fen ditemui dalam karung

KOTA KINABALU – Satu kepala dipercayai milik Bernard Then Ted Fen, 39, yang dilaporkan ditembak mati oleh pihak pengganas Abu Sayyaf sebelum dipenggal kepala ditemui di Jalan Marina berhampiran bangunan majlis perbandaran di Pulau Jolo kelmarin.

Kepala itu ditemui kira-kira pukul 8.30 malam dalam sebuah karung oleh pekerja pembersihan.

Ketua Polis Jolo, Superintendan Major Junpikar Sitin berkata, turut ditemui dalam karung berkenaan adalah nota tertera nama mangsa.

“Nota itu tertera nama yang tidak dikenali atau tidak biasa didengar.

“Oleh itu, saya memaklumkan perkara berkenaan kepada pakar forensik Filipina sebelum mengambil kepala berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan ujian asid deoksiribonukliek (DNA),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 19 Nov 2015


Syarat tambahan di luar jangkaan punca kepala dipenggal

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah sedaya upaya berusaha untuk berunding dengan kumpulan militan Abu Sayaff di Filipina bagi membebaskan mangsa culik rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, 39, yang didakwa dipenggal kepala oleh kumpulan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pelbagai usaha telah pun diambil bagi memastikan rundingan dua hala antara kerajaan dan kumpulan militan memenuhi syarat yang dikemuka namun gagal.

Jelasnya selaku Menteri Dalam Negeri, ini kerana kumpulan militan terbabit mengemukakan syarat tambahan di luar jangkaan rundingan sekali gus mengakibat mereka bertindak melampaui batas norma kemanusiaan dengan memenggal kepala mangsa.

“Kami akan terus berhubung dengan pihak berkuasa di sana bagi mengetahui status lanjut mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara Malaysia - Amerika Syarikat Bagi Meningkatkan Kerjasama Membanteras dan Memerangi Jenayah Serius di sini hari ini.

Satu karung yang mengandungi kepala manusia dan nota yang dipercayai tertera nama mangsa culik rakyat Malaysia, Bernard ditemukan di Jalan Marina berhampiran bangunan majlis perbandaran di Pulau Jolo semalam. - K! ONLINE

Kosmo19 Nov 2015


Mayat dibawa balik

Putrajaya: Pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang ditemui di selatan negara itu milik warga Malaysia, mendiang Bernard Then berdasarkan ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya belum menerima pengesahan rasmi bertulis daripada pihak berkuasa Filipina mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan terkini menunjukkan ia milik Bernard berdasarkan keputusan ujian yang dibuat.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina untuk membawa pulang mayat mendiang ke negara ini.

"Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen Universiti Lim Kok Wing, di sini, hari ini.

myMetro 19 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment