November 14, 2015

Anak merungut tiada wang saku


Vijayan meluangkan masa bersama anak-anak Mohan yang gemar membaca buku ketika lawatan ke rumahnya.

PASIR GUDANG - Seorang bapa sebak setiap kali anak-anak merungut tidak dapat makan seperti kawan-kawan lain di kantin sekolah kerana tidak membawa wang saku.

Lebih menyedihkan apabila anak-anaknya yang berumur 2 hingga 12 tahun kerap bertanyakan baju raya untuk sambutan Deepavali pada minggu depan.

S Mohan, 33, berkata, empat anak yang bersekolah hanya mengharapkan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selepas dia tidak berupaya bekerja akibat patah kaki selepas kemalangan tujuh tahun lalu.

Menurutnya, kehidupannya lebih terhimpit selepas isteri, S Malathy, 33, juga tidak dapat bekerja akibat pembedahan melahirkan anak keenamnya.

“Saya ulang-alik bergilir dengan isteri hantar dan ambil anak sekolah di Taman Cendana setiap hari.

“Apa yang membuatkan saya sebak apabila mereka beritahu kawan-kawan makan sedap-sedap di sekolah, tapi mereka tak ada wang saku.

“Saya pujuk mereka dengan berjanji akan bawa mereka makan sedap-sedap apabila dapat gaji lebih nanti,” katanya kepada Sinar Harian sambil mengesat air mata ketika kunjungan bersama Pengerusi MIC Cawangan Masai, K Vijayan di bilik sewanya di Masai.

Mohan berkata, mereka sekeluarga tinggal di bilik sewa rumah kedai dua tingkat itu dengan kadar sewa RM360 sebulan termasuk api dan air sejak lebih lima bulan lalu selepas diarah keluar dari rumah sewa di Taman Kota Masai.

Menurutnya, meskipun mereka hidup susah namun pelajaran anak-anak tetap diutamakan sehingga masing-masing cemerlang dalam pelajaran.

“Saya bangga dengan pencapaian pelajaran anak-anak kerana mereka boleh belajar bersama dalam bilik sempit.

“Saya mohon pihak berkenaan pertimbangkan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Taman Cendana yang telah saya mohon sejak setahun lalu demi keselesaan kami sekeluarga.

“Kami tak mampu nak menyewa kerana hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan, selain diupah sebagai pengawal keselamatan RM40 seminggu,” katanya.

Sementara itu, Vijayan berkata, pihaknya akan menyumbangkan baju raya untuk sambutan Deepavali kepada enam anak Mohan, selain disenaraikan untuk sumbangan seragam sekolah pada Disember depan.

“Banyak pihak yang telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan selepas cerita kehidupan Mohan menjadi viral di Facebook.

“Kita juga akan berurusan dengan pihak perumahan untuk mengetahui perkembangan mengenai permohonan rumah PPRT yang telah dibuat sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian 8 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment