November 18, 2015

Anak bunuh bapa

Kota Bharu: Lelaki warga emas maut selepas dipukul bertalu-talu oleh anak lelakinya dengan menggunakan kayu dan buluh, kira-kira 5 pagi tadi.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Hujung Repek, Bachok menyebabkan Yasa Muda, 70, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan muka serta hampir putus telinga.

"Suspek berusia 32 tahun dipercayai pesakit mental cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan sebaik serbuan dilakukan.

"Terdahulu, polis menerima panggilan berhubung kes itu pada 5.30 pagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 18 November 2015


Anak belasah bapa sampai mati

Mayat Yasa terbaring di depan rumah di Kampung Baru Hujung Repek, Bachok semalam selepas dia dibelasah anak sendiri.

KOTA BHARU – Seorang warga emas mati dalam keadaan tragis akibat dipukul bertubi-tubi menggunakan kayu dan buluh oleh anak bongsunya dalam kejadian di Kampung Baru Hujung Repek, Bachok dekat sini semalam.

Sebelum kejadian pukul 5 pagi, Yasa Muda, 71, dikatakan sedang bersiap-siap untuk bersembahyang Subuh namun malangnya dia tiba-tiba diserang oleh anak sendiri yang berusia 32 tahun di hadapan rumahnya.

Tanpa perasaan belas kasihan, suspek yang merupakan pe­nganggur terus memukul bapanya di kepala, muka dan teli­nga kanan. Tindakan suspek itu menyebabkan teli­nga sebelah kanan bekas atendan Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar itu terputus selain bibir dan tapak kaki kanan luka teruk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.30 pagi sebelum anggotanya dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati suspek yang memiliki rekod kurang ke­upayaan mental itu cuba melarikan diri.

Kosmo 19 Nov 2015


Lelaki kurang siuman didakwa bunuh bapa

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental didakwa di Wad 3 Mahsuri, Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini hari ini atas pertuduhan memukul bapanya hingga mati.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkod daripada tertuduh, Mohd. Al Namin Yasa, 32, terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Al Namin didakwa membunuh Yasa Muda,71, di hadapan sebuah rumah di alamat berkenaan pada pukul 5 pagi, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Nasrudin kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Permai, Johor Bharu.

Kes disebut semula pada 30 Disember depan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan perubatan mental.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga emas maut selepas dipukul bertubi-tubi oleh anaknya yang mempunyai masalah mental di Kampung Baru Hujung Repek, Bachok.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, mangsa berusia 71 tahun itu ditemui di hadapan rumahnya dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala.

Siasatan awal polis mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan yang dialami di bahagian kepalanya.

Seorang lelaki berusia 32 tahun dan memiliki rekod kurang keupayaan mental telah ditahan.

Semasa ditahan suspek ini terlalu agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. - K! ONLINE

Kosmo 19 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment