November 2, 2015

Allahyarham Rozimi akan dikebumi di Dungun

Putrajaya: Jenazah jurulatih pasukan lumba basikal Terengganu Rozimi Omar, 43, akan dibawa ke rumah ibunya di Tanah Lot Dungun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun, hari ini.

Isteri Rozimi, Azuraiza Razak, 36, berkata, jenazah dibawa menaiki van dan bertolak ke Terengganu kira-kira 11.30 pagi tadi.

"Kita masih menunggu urusan jenazah diselesaikan terlebih dahulu sebelum bertolak ke Dungun.

"Jenazah akan dibawa ke rumah ibu mertua saya disebabkan dia tidak dapat datang ke Putrajaya kerana uzur. Ibu mentua mahu melihat jenazah untuk kali terakhir," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Rozimi meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 8.20 malam tadi sekembalinya dari Kejohanan BMX Asia yang berlangsung di Napita, Myanmar.

Dia disahkan meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung.

myMetro 2 November 2015


Memori lauk bilis

Azuraiza pilu melihat keranda jenazah suaminya.

Putrajaya: “Sebelum arwah ke Myanmar, saya ada bekalkan lauk ikan bilis kerana bimbang sukar mendapatkan bekalan makanan halal ketika berada di sana,” kata Azuraiza Razak, 36, isteri jurulatih pasukan lumba basikal Terengganu Allahyarham Rozimi Omar, 43.

Lauk ikan bilis berkenaan antara memori terakhir yang sempat diingati Azuraiza sebelum suaminya berlepas ke Nay Pyi Taw, Myanmar bagi menyertai Kejohanan BMX ACC Asia bermula 28 Oktober hingga 1 November lalu.

Rozimi disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 8.20 malam kelmarin sekembalinya ke tanah air dipercayai akibat sakit jantung.

Azuraiza berkata, suaminya tidak memperlihatkan tanda tidak sihat sebelum berlepas ke luar negara namun, dia mengakui arwah mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Malah, saya pun tidak tahu mengenai penyakit jantung itu kerana arwah tidak pernah mengalami serangan jantung,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Putrajaya di sini, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut berkesempatan bertemu keluarga arwah di hospital berkenaan semalam.

Katanya, suaminya turut memaklumkan sudah tiba ke tanah air kelmarin dan mahu singgah di Putrajaya sebelum pulang ke Terengganu.

Bagaimanapun, Azuraiza berkata, dia kemudian menerima panggilan bahawa arwah dimasukkan ke Hospital Putrajaya kira-kira jam 7 petang untuk menerima rawatan kecemasan.

“Selang sejam setengah kemudian, saya dimaklumkan dia sudah tiada (meninggal dunia). Saya kemudian bersama ahli keluarga arwah suami terus ke Hospital Putrajaya malam tadi (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, kakak arwah, Sabariah Omar, 55, berkata, pemergian adalah mengejutkan dan tidak disangka kerana dia sekeluarga sempat berbual menerusi aplikasi WhatsApp sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Malah, ketika Zimi (panggilan keluarga) berada di Myanmar, dia sering menghantar gambarnya dalam ‘group’ adik-beradik menerusi aplikasi WhatsApp.

“Zimi turut mengirimkan banyak gambar sambil menceritakan pemandangan, keadaan cuaca selain gambar bersama rakan-rakannya di Myanmar,” katanya.

Katanya, arwah seorang yang ceria, suka berjenaka, peramah dan mesra dengan sesiapa sahaja.

Sabariah berkata, arwah mempunyai ramai kawan malah, jika pergi ke mana-mana negara bagi menyertai kejohanan basikal, arwah senang diajak berbual dan berkawan.

Jenazah Rozimi dibawa pulang ke Tanah Lot, Dungun terlebih dahulu dengan menaiki van sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun petang semalam.

Sebelum ini, arwah Rozimi bekerja dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum dipinjamkan di MSN sebagai jurulatih sepenuh masa dari 2004 hingga 2015 iaitu selama 11 tahun.

Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak iaitu dua lelaki berusia 15 dan 18 tahun serta seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.

myMetro 3 November 2015



0 comments:

Post a Comment