November 5, 2015

Aktif sikit muka dah biru

MOHAMAD Yusoff (kiri) melihat Muhammad Adam sambil disaksikan Zuraida dan suaminya.

Butterworth: Seorang bayi lelaki dari Sungai Dua, di sini, terpaksa menanggung derita penyakit jantung berlubang serta saluran pernafasan sempit manakala tangan kiri pula cacat.

Muhammad Adam Naufal Mohd Nasir yang berusia setahun, sepatutnya menjalani pembedahan jantung bagi mengelakkan risiko lebih besar jika menunggu terlalu lama, namun faktor kewangan menjadi penghalang berikutan bapanya, Mohd Nasir Ariffin, 32, hanya bekerja kilang.

Anak bongsu daripada dua beradik itu pada mulanya hanya mengalami kecacatan tangan kiri selepas dilahirkan di Hospital Kepala Batas (HKB), namun pemeriksaan lanjut mendapati dia turut mempunyai masalah jantung dan saluran pernafasan sempit.

Berikutan itu, dia perlu dirujuk ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) setiap bulan selain memerlukan RM45,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera.

Ibunya, Zuraida Mohd Ramlee, 30, berkata walaupun boleh bermain seperti bayi lain, Muhammad Adam cepat penat, malah wajahnya bertukar kebiruan jika terlalu aktif.

Katanya, anak bongsunya itu turut perlu menjalani fisioterapi bagi membolehkan tangan kirinya digerakkan selain bagi membetulkan leher yang senget.

“Jika mengikut usia, dia sepatutnya sudah boleh merangkak, tetapi kecacatan tangan kiri menjadi penghalang. Ketika ini dia hanya meniarap dan perlu diberi perhatian sepanjang masa,” katanya selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Mohamad Yusoff Mohd Noor dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Selain Muhammad Adam yang memerlukan perhatian sepanjang masa, Zuraida turut menjaga ibu mentuanya, Ramlah Ismail, 72, yang terlantar sejak empat tahun lalu akibat angin ahmar.

Zuraida yang tidak bekerja berkata, dia dan suaminya buntu untuk mencari wang bagi membolehkan anak bongsu mereka menjalani pembedahan segera, malah terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara jika mahu ke HSJ.

“Kami memasukkan maklumat mengenai Muhammad Adam dalam laman sosial dengan bantuan rakan, tetapi setakat ini belum ada perkembangan,” katanya yang boleh dihubungi di talian 012-2634824.

Sementara itu, Mohamad Yusoff berkata, beliau akan membantu pasangan berkenaan mendapatkan bantuan melalui Tabung Kebajikan Hospital atau Yayasan Kebajikan Negara bagi membolehkan Muhammad Adam menjalani pembedahan segera.

“Jika ada bantuan tentu akan meringankan beban Zuraida dan Mohd Nasir untuk mencari modal bagi menampung kos pembedahan kelak,” katanya.

myMetro 4 November 2015

0 comments:

Post a Comment