November 2, 2015

Ajal di lombong bauksit

Kuantan: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas ketika mandi bersama rakannya dalam kejadian di lombong bauksit Ladang Makmur, Bukit Goh, jam 3 petang kelmarin.

Mayat Nabil Ariff Shaari, berasal dari Taman Impian meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses selanjutnya.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan yang dipercayai lebih daripada lima orang pergi ke lombong berkenaan untuk mandi.

“Kejadian disedari seorang daripada rakannya yang melihat pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di bandar ini terkapai-kapai meminta bantuan.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa yang dikatakan tidak tahu berenang, namun gagal sebelum Nabil Ariff ditemui mati lemas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut sumber, mayat mangsa kemudian dituntut ibunya yang berusia 50-an bagi urusan pengebumian.

Sumber berkata, kejadian lemas di lombong bauksit itu kali pertama dilaporkan berlaku di daerah ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Othman Bakar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Tiada unsur jenayah dikesan pada kejadian ini,” katanya.

myMetro 1 November 2015

0 comments:

Post a Comment