November 8, 2015

Adik Rayyan perlu mesin oksigen


Annur Syakirah setia menemani Rayyan di hospital

ALOR SETAR - Seorang bayi 10 bulan yang mengidap penyakit jantung kronik terpaksa bergantung kepada mesin bantuan oksigen sejak dari lahir.

Muhammad Rayyan Mikail disahkan mengidap penyakit ‘Complex Cyanotic Heart Disease’ dan ‘Chronic Lungs Disease’ ketika berusia 32 hari selepas tubuh badannya kebiruan, manakala jantungnya berdegup laju.

Disebabkan itu, anak sulung kepada pasangan Annur Syakirah Mahazer, 20 dan Mohamad Yazid Lazim, 24,  terpaksa mendiami hospital sejak 10 bulan lalu.

Annur Syakirah berkata, anaknya mengalami saluran oksigen terbalik, injap sempit dan jantung berlubang antara lima hingga enam milimeter (m) di dua bahagian.

Menurutnya, pada usia tiga bulan, anaknya sudah dibedah buat kali pertama di Institut Jantung Negara (IJN) untuk merawat masalah injap sempit pada 31 Mac lalu.

"Pembedahan kedua terpaksa ditangguhkan disebabkan paru-paru Rayyan didakwa rosak, sekali gus menyebabkan dia perlu bergantung kepada mesin oksigen," katanya.

Kini, katanya, mereka sekeluarga memerlukan lebih RM10,000 untuk membeli peralatan bantuan pernafasan yang diperlukan Rayyan di kediaman mereka, di Kampung Padang Gelanggang, Kuala Nerang.

"Kira-kira RM5,000 diperlukan untuk membeli mesin oksigen, diikuti tangki oksigen berharga RM1,500, peralatan sedut kahak (RM600), susu khas dan lampin pakai buang Rayyan," katanya.

Namun, menurutnya, mereka tidak berkemampuan membeli peralatan itu  memandangkan suaminya, Mohamad Yazid hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Annur Syakirah berkata, wang pendapatan suaminya tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan anak mereka, apatah lagi mereka sedang menjaga ibu mertuanya yang tidak sihat.

“Suami ada cuba mencari pekerjaan yang memiliki pendapatan lebih tinggi, namun keadaan fizikalnya dikhuatiri tidak mengizinkan kerana matanya bermasalah kesan kemalangan di waktu kecil,” katanya.

Sumbangan terhadap Rayyan boleh dilakukan dengan menyalurkan terus ke akaun CIMB milik ibunya Annur Syakirah Mahazer (7057753680).

Sinar Harian 7 Nov 2015


Bayi sakit jantung perlu bantuan

KUALA NERANG - Seorang bayi berusia enam bulan yang menghidap sakit jantung di Kampung Padang Gelanggang, di sini memerlukan dana bagi membeli mesin bantuan pernafasan.

Bayi, Muhammad Rayyan Mohd Yazid disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia sebulan.

Ibu bayi, Annur Syakirah Mahazir, 19, berkata, anak kesayangannya itu kini terlantar di Wad Separa Kritikal (Pediatrik) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat penyakit berkenaan.

Menurutnya, doktor telah mengesahkan anaknya itu mengalami masalah jantung berlubang, saluran pernafasan sempit dan tiada injap dalam saluran pernafasan.

“Disebabkan masalah itu, Rayyan sering mengalami masalah kekurangan oksigen kerana tidak dapat bernafas dengan baik dan menggunakan mesin bantuan pernafasan setiap masa.

 "Selain itu, paru-paru Rayyan disahkan  rosak, oleh itu dia terpaksa bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB semalam.

Annur Syakirah berkata, dia dan suaminya, Mohd Yazid Lazim, 24, memerlukan dana sebanyak RM7,000 bagi membeli mesin bantuan pernafasan, tangki oksigen dan mesin penyedut kahak.

Jelasnya, jika peralatan berkenaan dapat disediakan, anaknya boleh dibawa pulang ke rumah.

“Kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana suami bekerja sebagai penoreh getah yang  berpendapatan RM800 sebulan.

“Kadangkalanya kami terpaksa berhutang untuk datang ke HSB ini kerana masalah kewangan. Kini HSB sudah menjadi rumah kedua kami sejak anak dirawat di sini,” katanya.

Bagi  yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi CIMB 7057753680 atas nama Annur Syakirah  atau menghubungi talian 0194070530.

Sinar Harian 9 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment