November 28, 2015

Adik bapa, ipar disyaki dalang culik bayi

Melaka: Empat individu ditahan termasuk suami isteri yang juga saudara kandung bapa bayi diculik Selasa lalu yang dipercayai dalang penculikan di Taman Kota Laksamana.

Pasangan terbabit masing-masing berusia 24 dan 25 tahun, ditahan di dua lokasi berasingan pada 10.30 malam hingga 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, tangkapan pertama dilakukan ke atas wanita berusia 24 tahun yang juga adik ipar kepada bapa mangsa yang ditahan bersama dua lagi wanita dipercayai pekerjanya berusia 21 tahun, selepas ibu bapa mangsa menyerahkan wang tebusan RM200,000 kepada suspek pada 10.30 malam tadi di pusat tuisyen di Taman Gadong Perdana, di sini.

"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu kediaman keluarga mangsa di Taman Kota Laksamana dan menahan lelaki berusia 25 tahun yang juga adik kepada bapa mangsa untuk membantu siasatan.

"Kita percaya penculikan ini bermotifkan masalah kewangan yang dihadapi suami isteri terbabit," katanya.

Ghee Lye berkata, kesemua empat suspek ditahan reman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.

Polis akan melakukan tangkapan lain sekiranya mendapati masih ada individu terlibat, katanya.

Bayi berusia 12 hari itu diselamatkan sepasukan polis, di Taman Gadong Perdana, malam tadi.

myMetro 26 November 2015


Polis selamatkan bayi diculik

Melaka: Bayi berusia 12 hari yang hilang dan disyaki diculik di Taman Kota Laksamana, di sini, dipercayai berjaya diselamatkan sepasukan polis, di Taman Gadong Perdana, malam tadi.

Difahamkan, bayi itu ditemui di sebuah premis di Taman Gadong Perdana, di sini, kira-kira 10 malam.

Tinjauan di lokasi mendapati, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menjalankan siasatan ke atas barang kes.

Difahamkan polis turut menahan beberapa suspek namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan dan Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dijangka mengadakan sidang media pada jam 11.30 pagi ini.

myMetro 26 November 2015

0 comments:

Post a Comment