November 25, 2015

7 individu ditahan, seleweng kontrak RM1.5j

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Seramai tujuh individu ditahan kerana di­percayai terlibat menyeleweng kon­trak sebanyak RM1.5 juta dalam satu projek membaik pulih bangunan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Kesemua individu terbabit yang terdiri daripada pegawai kanan polis, anggota polis serta kontraktor kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ke­semua individu terbabit ditahan dalam beberapa tangkapan yang dijalankan bermula kelmarin dan pada awal pagi hari ini.

Menurut beliau, dalam tangkapan itu, polis turut menyita beberapa kenderaan mewah dan akuan bank milik kesemua suspek.

“Kertas siasatan sudah dibuka, kita akan menyiasat secara terperinci jika ada individu lain yang terlibat.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan jenayah termasuklah daripada kalangan anggota atau pegawai pasukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sunathon 2015 Peringkat Bukit Aman di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, beberapa pegawai polis disiasat kerana disyaki menyeleweng peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan kerja-kerja membaik pulih bangunan. Selain melibatkan transaksi yang tidak wujud, kesemua suspek dikatakan terlibat memalsukan tandatangan pada dokumen perolehan.

Utusan 23 Nov 2015


Dua lagi disyaki subahat ditahan

Kuala Lumpur: Dua pegawai kanan polis ditahan berhubung kes pecah amanah RM1.5 juta membabitkan kontrak ubah suai dan baik pulih Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sebelum ini, tujuh individu termasuk seorang pegawai kanan PDRM ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah amanah.

Turut ditahan pegawai bawahan dan juga kontraktor yang dipercayai bersekongkol dengan kegiatan pecah amanah itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata mereka ditahan baru-baru ini bagi membantu siasatan dan pihaknya memberi jaminan tiada sebarang kompromi ke atas mereka yang terbabit.

"Saya sahkan dua lagi pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan. PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Siri 2/2015, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

myMetro 28 November 2015



0 comments:

Post a Comment