November 30, 2015

2 sepupu ghaib 6 hari tanpa jejak


Nurul Hazieratul (kiri) bersama Nurul Syafiqah dilaporkan hilang sejak petang Selasa lalu di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan sepupunya berusia 15 tahun terus menjadi misteri apabila kedua-dua mereka gagal dijejaki sejak enam hari lalu.

Mangsa, Nurul Hazieratul Hana, 12, dan Nurul Syafiqah Sha’ari, 15, dilaporkan hilang ketika berada di rumah di Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan, di sini, petang Selasa lalu.

Ibu Nurul Syafiqah, Zuraidah Tahir, 44, berkata, anaknya hilang selepas dihantar ke rumah bapa saudaranya itu.

Menurutnya, Nurul Syafiqah dihantar ke rumah berkenaan berikutan cuti persekolahan serta menemankan adiknya, Ain Nuraudah, enam tahun, yang dijaga bapa saudaranya itu.

Dia berkata, anaknya itu bermain di kawasan berhampiran rumah berkenaan sebelum diambilnya selepas pulang bekerja.

“Saya tinggal di Kajang, namun setiap hari saya akan ke Desa Pandan untuk menghantar anak saya itu. Selalunya saya akan menghubungi telefon bimbitnya dan meminta Nurul Syafiqah turun ke bawah pangsapuri kerana saya sudah menunggu.

“Bagaimanapun pada hari kejadian, telefon bimbitnya ditutup dan saya diberitahu bahawa saudaranya (Nurul Hazieratul) turut gagal dijejaki ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Katanya, anak perempuannya tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik serta tidak pernah pulang lewat ke rumah sekiranya keluar bermain atau ke rumah kawannya.

Sehubungan itu, orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Zuraidah di talian 017-2741394 atau mana-mana balai polis berhampiran.

myMetro 30 November 2015


Air paip alas perut kosong


DUA budak yang hilang dipertemukan dengan keluarga mereka.

Kuala Lumpur: “Mereka memberitahu saya hanya meminum air paip untuk mengisi perut dan tidur di sebuah surau di Segambut sepanjang tempoh enam hari gagal mencari jalan pulang,” kata Zuraidah Tahir, 44, ibu kepada Nurul Syafiqah Sha’ari, 15, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.

Remaja berkenaan bersama sepupunya Nurul Hazieratul Hana, 12, dikesan hilang ketika berada di rumah bapa saudaranya di Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan, kira-kira 6 petang selepas diminta menemani adiknya yang dihantar ke rumah itu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka ditemui semula dalam keadaan selamat, di Kepong di sini, malam kelmarin dalam keadaan kurus dan kelaparan.

Zuraidah ketika dihubungi wartawan Harian Metro berkata, berdasarkan perbualan bersama anaknya, Syafiqah mendakwa menemani Hana menaiki bas ke Bukit Bintang, pada petang hari kejadian.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudiannya tersalah menaiki bas yang akhirnya menurunkan mereka di kawasan di Segambut pada malam Selasa lalu.

myMetro 1 Disember 2015






0 comments:

Post a Comment