November 25, 2015

2 pelajar kolej direman 4 hari kes pukul pekerja feri

PULAU PINANG 23 Nov. – Dua pelajar kolej swasta direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang pekerja feri sehingga cedera dalam kejadian 12 November lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di sekitar Georgetown.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalalthrash Wahid berkata, perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berkenaan dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek ditahan berdasarkan maklumat orang awam ketika mereka bersembunyi selepas kes berkenaan dilaporkan media.

“Sehingga kini, polis masih mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis percaya suspek lain masih berada di sekitar negeri ini dan menasihatkan mereka menyerah diri untuk membantu siasatan kes tersebut.

Dalam masa sama, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi pihak polis.

Dalam kejadian tersebut, seorang pekerja feri berusia 38 tahun cedera dan patah tulang rusuk kiri setelah dibelasah beramai-ramai selepas menegur sekumpulan 11 lelaki yang cuba mendekati pintu dek ketika feri mahu berlabuh.

Utusan 24 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment