November 8, 2015

13 tahun tidak pulang

GUA MUSANG - Seorang pembantu kedai di Kampung Pulai, dekat sini, mencari bekas suaminya yang menghilangkan diri sejak 13 tahun lalu.

Soon Fee Loan, 43, berkata, usaha mengesan Lim Poh Ban, yang merupakan warga Singapura, dilakukan untuk menyelesaikan pertukaran status anak perempuan mereka, Lim Zhi Tong, 13, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang tertangguh sejak sekian lama.

Menurutnya, masalah pertukaran status Zhi Tong kepada keluarga di Gua Musang menyebabkan mereka sukar untuk menyelesaikan pelbagai urusan, termasuk persekolahan dan pembahagian harta.

"Dia meninggalkan rumah ketika anak kami berusia dua bulan dan tidak pulang sampai sekarang. Ketika keluar rumah, dia langsung tidak beritahu ke mana nak pergi. Sebelum itu dia pernah balik Singapura untuk menemui keluarga di sana, tetapi pulang semula ke rumah saya.

"Rasa sedih juga sebab dia tidak pulang sampai sekarang. Soal dia benci kepada saya tidak timbul, asalkan dia pulang sekejap ke Gua Musang bagi menyelesaikan masalah status anak kami yang saya jaga sekarang,” katanya, pagi semalam.

Menurut Fee Loan, dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan bekas suaminya itu dan mencari di semua tempat, namun Poh Ban masih gagal ditemui.

“Nombor telefon yang dia gunakan ketika bersama saya juga telah ditamatkan perkhidmatan menyebabkan saya sukar menghubunginya.

"Jadi, saya rayu agar dia dapat pulang walaupun sekejap bagi menyelesaikan masalah anak kami, yang mungkin berdepan banyak lagi masalah selepas ini," katanya.

SINAR HARIAN 7 NOVEMBER 2015

0 comments:

Post a Comment