November 14, 2015

10 suspek direman bantu siasatan kes bunuh Alias

KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Seramai 10 suspek lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan de­ngan kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, pada 9 Oktober lalu telah ditahan reman untuk membantu siasatan polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, kesemua suspek tersebut berusia di antara 21 hingga 44 tahun.

“Susulan tindakan dan siasatan menyeluruh terhadap kes ini di samping maklumat orang ramai serta penyebaran gambar orang yang disyaki pada 5 November lalu, polis telah mengesan beberapa suspek termasuk yang dipercayai terlibat dengan satu kes tembak di Pulau Kambing di sini pada 27 Ogos lalu.

“Berikutan itu, beberapa serbuan telah dibuat di daerah Marang dan hasilnya, 10 suspek telah berjaya dikesan termasuk individu yang disyaki lelaki dalam CCTV (rakaman kamera litar tertutup) seperti yang disiarkan baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alias maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di kediamannya di Kampung Alur Limbat, Bukit Payong, Marang dipercayai selepas pulang daripada menunaikan solat Jumaat.

Kejadian yang menimpa Alias itu rentetan daripada pembunuhan sepupunya iaitu seorang pesara guru, Mat Jusoh Ali atau Cikgu Zaki kira-kira dua bulan sebelum itu akibat ditembak juga berlaku di Marang.

Utusan 13 November 2015

0 comments:

Post a Comment