October 28, 2015

Reda mandi jenazah anak sendiri


Anggota JPAM Dungun turut membantu mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Dungun.

DUNGUN - Tugas memandikan jenazah kes kemalangan maut perkara biasa bagi seorang juru mandi jenazah, Sarifah Hussin, 56, tetapi dia tidak menyangka akan menguruskan jenazah anaknya sendiri yang meninggal dunia akibat nahas.

Anak sulungnya, Muhammad Nor Omar, 36, maut apabila motosikal ditunggang berseorangan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan dalam kejadian jam 12.30 tengah hari di Kilometer 56 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Jambu Bongkok, Marang, kelmarin.

Lebih menyayat hati, ketika kejadian, mangsa berasal dari Kampung Nibong Bawah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunggu anak tunggalnya, Mohd Asmani Ismat, 10, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang cedera akibat kemalangan, dua hari lalu.

Sarifah berkata, sebelum kejadian, dia menerima panggilan daripada mangsa mengatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dan memaklumkan motosikalnya rosak.
Bagaimanapun, sejam selepas panggilan itu, dia menerima berita duka anaknya meninggal dunia.

“Dia hubungi saya jam 11.30 pagi dan mengatakan sudah sampai di Marang, tetapi motosikalnya pula rosak.

“Saya kemudian mendapatkan suami yang keluar baiki kereta dan memang bercadang ingin mengambilnya, tetapi saya terima panggilan daripada bapa mertuanya mengatakan anak saya kemalangan jalan raya dan sudah meninggal dunia.

“Saya bergegas ke lokasi dan apabila sampai mayatnya terbujur kaku di atas jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Baru kemalangan dua hari lalu

Ibu empat anak itu berkata, Muhammad Nor baru sahaja terlibat kemalangan bersama anaknya dua hari lalu dan  kejadian sama berulang serta meragut nyawa anak lelaki tunggalnya.

“Ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunggu anaknya di wad selama dua hari dan sebelah petang anaknya dibenarkan pulang.

“Isterinya, Nur Nabihah Alfian, 18, turut berada di HSNZ kerana menunggu anak mereka,” katanya.

Puas hati berbakti kali akhir

Sarifah yang berpengalaman 20 tahun sebagai juru mandi jenazah bagi kes kemalangan maut tidak menyangka akan memandikan jenazah anaknya sendiri, tetapi berpuas hati kerana dapat berbakti sebagai ibu buat kali terakhir.

“Kemalangan berlaku di sempadan Marang dan Dungun dan mayat sepatutnya diserah ke Balai Polis Marang, tetapi saya minta pihak berkuasa hantar ke Hospital Dungun.

“Saya mahu memandikan sendiri jenazah anak saya walaupun sedih kehilangannya buat selama-lamanya.

“Saya tidak nampak sebarang perubahan berlaku kepada arwah, tetapi ketika menemani anaknya di Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ, saya lihat ada kelainan pada wajahnya.

“Saya lihat wajahnya sangat jernih dan bersih serta menyuruhnya untuk bersolat, manakala dia menjawab sekejap lagi akan berbuat demikian.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya, tetapi bersimpati dengan nasib anak dan isterinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal ditunggang lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Dungun, Mohd Jefri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.34 tengah hari dan bergegas ke lokasi.

“Ketika tiba di lokasi yang berada berhampiran sempadan Dungun, mangsa memang sudah meninggal dunia.

“Seramai empat anggota dikejarkan ke sana untuk membantu kelancaran lalu lintas,” katanya.

Sinar Harian 28 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment