October 29, 2015

Potret terakhir

Nurul Afidah menunjukkan gambar terakhirnya bersama Mohammad Syamil. Ismail bersama bapa mentuanya ketika mengebumikan jenazah Mohammad Syamil di Kampung Kota Beruas, semalam(gambar kecil). FOTO Muhaizan Yahya

Batu Gajah: “Saya sempat menciumnya serta mengambil gambar kami. Tak sangka, itu adalah kali terakhir kami bersama," kata Nurul Afidah Muhammad, 30, ibu Mohammad Syamil Hafizy Ismail berusia 10 bulan yang meninggal dunia pagi semalam di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, dekat sini.

Mohammad Syamil Hafizy Ismail disahkan meninggal dunia pada 4.40 pagi akibat masalah paru-paru.

Kisah bayi yang menderita sakit 'cystic hygroma' atau bengkak kelenjar sejak dilahirkan itu ‘viral’ di laman sosial sebelum ini dan mendapat perhatian orang ramai yang ingin membantu hingga ibu bapanya mewujudkan akaun Facebook Syamil Hafizy bagi membolehkan mereka berkongsi perkembangan bayi berkenaan selain memudahkan bantuan disalurkan.

Mohammad Syamil yang dilahirkan pada 12 Januari lalu di HRPB sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kemudian dipindahkan semula ke HRPB kira-kira empat bulan lalu selepas keadaannya bertambah baik.

Nurul Afidah berkata, dia pulang ke rumah pada 8 malam selepas menjaga Mohammad Syamil sebelum pihak hospital menghubunginya kira-kira 4.20 pagi memaklumkan anak bongsunya itu kritikal.

Katanya, dia bersama suami, Ismail Othman, 33, segera ke hospital dari rumah mereka di Taman Pusing Perdana, di sini, namun sebaik tiba pada 5 pagi anaknya itu sudah meninggal dunia.

"Ketika saya meninggalkannya, dia berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, dia pergi buat selama-lamanya selepas terlantar di hospital sejak dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya dikebumikan di Kampung Kota Beruas pada 4.30 petang semalam.

myMetro 28 Oktober 2015



0 comments:

Post a Comment