October 29, 2015

Pesawah terkejut jumpa bayi di dalam mesin basuh

KAKITANGAN hospital memeriksa keadaan bayi yang dibuang di dalam mesin basuh di Yan malam kelmarin.

YAN – Seorang pesawah terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam mesin basuh di dapur rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kecil di sini kelmarin.

Zainol Hamid, 71, berkata, bayi dipercayai berusia sehari itu ditemui kira-kira pukul 10.30 malam selepas dia terdengar tangisan sewaktu mahu pergi ke bilik air.

“Mula-mula saya berasa seram sejuk juga kerana ingat diganggu makhluk halus, tetapi tidak lama kemudian saya ternampak seorang bayi di dalam mesin basuh.

Kosmo 29 Okt 2015


Jumpa bayi dalam mesin basuh

BAYI ditemui di dalam mesin basuh. FOTO Nur Syazwana Mansor

Yan: Bayi perempuan baru berusia sehari ditemui di dalam mesin basuh milik penduduk di Kampung Ulu Dulang, di sini, 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.44 malam dan terus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati bayi perempuan berusia sehari ditemui dalam keadaan cukup sifat dan disahkan sihat oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Yan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke rumah terbabit melalui pintu belakang yang tidak berkunci sebelum meletakkan bayi berkenaan di dalam mesin basuh.

“Kita sedang mengesan suspek dan meminta pihak hospital kerajaan mahupun klinik swasta untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang disyaki datang mendapatkan rawatan," katanya.

Muhamad Halim berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

myMetro 28 Oktober 2015


Ibu bayi dalam mesin basuh ditahan

Yan: Wanita berusia 38 tahun ditahan polis 12 tengah hari tadi susulan penemuan bayi dalam mesin basuh milik penduduk di Kampung Ulu Dulang Kechil, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, wanita itu ditahan di kampung sama dan hasil soal siasat, wanita terbabit mengaku melahirkan bayi perempuan seberat 2.86 kilogram itu di dalam bilik air di rumahnya tanpa pengetahuan sesiapa sebelum meletakkan bayi itu di dalam mesin basuh.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman untuk ujian DNA dan mengesan uri yang dibuangnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kes penemuan bayi perempuan yang baru berusia sehari di dalam mesin basuh di sebuah rumah oleh seorang lelaki warga emas, Zainol Hamid, 71 selepas terdengar tangisan bayi berkenaan .

Bayi yang ditemui dalam keadaan sempurna dan sihat itu dibawa ke Hospital Yan dengan menaiki ambulans sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

myMetro 29 Oktober 2015

0 comments:

Post a Comment