October 30, 2015

Penunggang motosikal ditemui maut tepi jalan


KUCHING: Seorang penunggang motosikal ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan di Jalan Rock di sini, semalam.

Mangsa ialah Abdul Hamdi Kram berusia 50 tahun dan berasal dari RPR Batu Kawah.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terbabas ke bahu jalan berkenaan sekitar jam 4 pagi, namun hanya ditemui sekitar jam 7 pagi oleh orang awam.

“Penduduk di kawasan tersebut memberitahu sekitar jam 4 pagi kedengaran bunyi dentuman namun tidak menyangka berlaku kemalangan di situ sehingga jam 7 pagi tadi(semalam) apabila mereka melihat mangsa terbaring di tepi jalan raya.

“Selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri, mereka kemudian segera menghubungi anggota paramedik untuk bantuan,” kata sumber.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dan memaklumkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal di tempat kejadian telah dilakukan dan dipercayai mangsa gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas ke tepi jalan tersebut selain mangsa turut dihempap tiang papan tanda di bahagian dadanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mencari maklumat mengenai kes kemalangan jalan maut itu.

Menurut kenyataan akhbar semalam, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Honda bernombor pendaftaran QAA903D.

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nik Shamsol Mohamed menerusi talian 017-9030804 atau 082-221127 untuk membantu siasatan.

Utusan Borneo 30 Okt 2015


0 comments:

Post a Comment