October 28, 2015

Pengurus maut nahas motosikal kuasa tinggi

KEADAAN motosikal berkuasa tinggi selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis

Temerloh: Pengurus syarikat maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabit kemalangan dengan lori dan van di Kilometer 118.5 Lebuhraya Pantai Timur dekat susur keluar Plaza Temerloh di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.47 malam itu, mangsa, Mohd Rahimi Abdul Rahman, 35, dari Kampung Cacar, Paka, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal berkenaan dari Kuala Lumpur ke arah Kuantan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori membawa muatan jentolak.

"Kira-kira 10 minit kemudian, van yang berada di belakang kenderaan itu tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengkebumian," katanya ketika dihubungi di sini.

myMetro 28 Oktober 2015

0 comments:

Post a Comment