October 31, 2015

Pekerja Propel maut dirempuh

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang pekerja Propel, semalam.

SEREMBAN -  Seorang pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut akibat dirempuh kenderaan ketika sedang membantu sebuah lori yang mengalami kerosakan di Lebuh Raya Utara - Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi di Kilometer 258.7 menyebabkan mangsa, Nizam Mohamed, 39, tercampak ke bahu jalan selepas dirempuh sebuah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya difahamkan memberhentikan lori Propel dinaiki mereka di bahu jalan bersama sebuah  trak penunda berikutan terdapat sebuah lori mengalami kerosakan akibat terbabas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang berada di lorong kiri di dalam kawasan yang sudah diletakkan kon keselamatan.

“Mangsa bersama rakannya datang ke lokasi itu menaiki sebuah lori Propel untuk membantu kerja-kerja mengawal lalu lintas. Pada masa sama, terdapat sebuah trak penunda kereta sedang melakukan kerja-kerja menarik lori yang terbabas itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sebuah lori jenis Nissan yang dalam perjalanan ke Alor Gajah, Melaka hilang kawalan lalu melanggar kon diletakkan di atas jalan di lokasi terbabit.

Menurutnya, lori terbabit kemudian merempuh lori Propel dinaiki mangsa, trak penunda dan seterusnya merempuh pula lori yang terbabas itu.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala, manakala lori Propel terbabit terbalik di bahu jalan.

“Pemandu lori Nissan berusia 44 tahun dan kelindannya berusia 28 tahun serta pemandu trak penunda berusia 61 tahun bagaimanapun selamat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 31 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment