October 31, 2015

Pekerja am DBKL maut kereta langgar pokok

ALOR SETAR - Seorang pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Km41.4 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Hutan Kampung, hari ini.
 
Kemalangan itu berlaku semasa Fendi Abu Kasim, 28, sedang dalam perjalanan ke kampung isterinya di Kampung Titi Kerbau, Changlun.
 
"Suami sepatutnya tiba kira-kira 7 pagi tadi selepas bertolak dari Cheras, pada 12 tengah malam tadi. Bimbang kerana dia tidak sampai, saya terus menghubungi suami namun tidak diangkat.
 
"Selepas beberapa kali gagal menghubunginya, panggilan telefon diangkat anggota polis yang memaklumkan bahawa suami saya kemalangan dan telah meninggal dunia di tempat kejadian," kata isteri Fendi, Siti Rashiqah Rahim, 23, kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
 
Wanita itu berkata dia dan anaknya yang berumur setahun, Nurul Shifa, pulang ke kampung terlebih dahulu dengan menaiki bas kerana suaminya perlu menghadiri kursus di Port Dickson, Negeri Sembilan.  - Bernama

Sinar Harian 31 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment