October 29, 2015

Lori bawa ikan terbalik, seorang maut

Keadaan lori dipandu mangsa yang terbalik.

JASIN - Seorang pemandu lori maut, manakala kelindannya cedera parah selepas kenderaan muatan ikan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 178.4 Lebuh Raya Utara  - Selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam, mangsa, Abdul Jalil Abd Rahman, 50, meninggal dunia di lokasi selepas dipercayai tersepit di tempat duduknya, sementara kelindannya, Mohd Fuad And Kamit, 48, dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

Menurut sumber, Abdul Jalil yang memandu lori jenis Nissan dikatakan dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuala Lumpur sebelum melanggar Toyota Hilux dinaiki empat lelaki.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, lori dipandu Abdul Jalil dipercayai melanggar belakang pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.

“Kedua-dua kenderaan dari arah sama itu kemudian terbabas ke sebelah kiri lebuh raya dan melanggar tebing tanah. Pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kelindannya parah.

“Bagaimanapun, kesemua pemandu dan penumpang di dalam pacuan empat roda berusia antara 33 hingga 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 29 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment