October 30, 2015

Korban lumba haram

Motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Ipoh: Tiga maut termasuk dua pelajar berusia 18 dan 19 tahun dipercayai akibat lumba haram dalam kejadian di Kilometer 283.6 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Simpang Pulai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Azwandi Riffen, 26, dari Sungai Siput; Muhamad Nursyafiq Sham, 19, pelajar kolej berasal Malim Nawar dan Syed Muhammad Aiman Syed Hassandi, 18, pelajar Giat Mara dari Sungai Siput.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kemalangan itu dan sebaik tiba di lokasi kejadian tiga lelaki berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal berdasarkan keterangan beberapa saksi kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram bersama puluhan mat rempit lain dan punca kejadian dipercayai akibat mangsa berlanggar sesama sendiri membabitkan tiga motosikal yang mereka tunggangi.

"Bagaimanapun, polis hanya menemui dua motosikal jenis Yamaha 125Z di tempat kejadian, manakala sebuah lagi dipercayai dilarikan oleh rakan mangsa.

"Kumpulan mat rempit berkenaan dipercayai berlumba dari kawasan Ampang, di sini hingga ke Simpang Pulai sebelum terbabit kemalangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pagi tadi.

"Polis ingin menasihatkan kepada golonggan muda terutama pelajar agar tidak membabitkan diri dalam kegiatan lumba haram dan kami akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan tidak berfaedah serta membahayakan keselamatan ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 30 Oktober 2015


Tiga maut merempit

IPOH – Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan beberapa motosikal di Kilometer 283.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Simpang Pulai di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Azwandi Riffen, 26, dan Syed Muhammad Aiman Syed Hassandi, 18, kedua-duanya dari Sungai Siput serta Muhamad Nursyafiq Sham, 19, dari Malim Nawar maut di lokasi dipercayai akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata siasatan awal melalui saksi mendapati, kira-kira 100 buah motosikal  dipercayai sedang berlumba sesama sendiri dari arah Plaza Tol Ipoh Selatan menghala ke Simpang Pulai.

Menurutnya, anggota polis peronda (MPV) yang menerima maklumat berhubung kemalangan itu turut melihat kumpulan motosikal tersebut di kedua-dua arah Utara dan Selatan sedang melarikan diri selepas menyedari kehadiran mereka di kawasan berkenaan.

“Siasatan turut mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga mangsa berlanggar sesama sendiri dengan rakan lain dipercayai ketika berlumba dari arah Ampang menghala ke Simpang Pulai melalui lebuh raya.

“Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh bersama motosikal yang dinaiki. Bagaimanapun, motosikal yang dipercayai dinaiki mangsa telah sempat dibawa lari oleh rakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik, jalan sehala dan lurus namun kawasan tersebut gelap kerana tidak berlampu.

“Setakat ini terdapat beberapa motosikal dipercayai terlibat dalam kemalangan itu tetapi masih belum dapat dipastikan pemiliknya.

“Kita turut menemui banyak kesan pecahan kaca di kedua-dua lorong menghala ke arah Selatan ketika siasatan di tempat kejadian dijalankan,” jelasnya.

Wan Jamil berkata, waris mangsa telah dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun,” katanya.

Sinar Harian 31 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment