October 30, 2015

Kaki makin bengkak

NURUL Khatyjah ditemani ibunya, Nurhayuti.

Kuala Terengganu: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu dihadapi Nurul Khatyjah Zulkefli, 9, yang bukan saja disahkan menghidap barah tulang, malah berdepan kemungkinan kehilangan kaki kanan.

Ibu murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Bukit Kenok itu, Nurhayuti Said, 36, berkata, penderitaan anaknya bermula pertengahan Mei lalu selepas terjatuh daripada basikal.

Katanya, ketika insiden itu, Nurul Khatyjah hanya luka kecil dan dia menyapu ubat luka bagi mengelakkan jangkitan.

Bagaimanapun, katanya, daging di bahagian kaki kanan yang luka semakin lama semakin membengkak sehingga tiga kali ganda daripada saiz asal sehinggakan anaknya tidak mampu berjalan.

“Selepas insiden itu, saya membawa Nurul Khatyjah berjumpa doktor di klinik dan ikhtiar dengan perubatan tradisional, namun bengkak itu tidak surut.

“Akhirnya jawapan bengkak pada kaki kanannya terjawab selepas pakar tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengesahkan ia berpunca daripada barah tulang,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Tukang sapu yang menetap di Kampung Bukit Kenok, Jerteh, itu berkata, dia tidak mampu menahan sebak menerima berita itu dan lebih perit anaknya mungkin terpaksa bergantung kepada satu kaki saja kelak sekiranya jangkitan kuman pada kaki kanannya itu terus merebak.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga hanya mampu berdoa supaya anak kedua daripada tiga beradik itu mampu melawan penderitaannya sehingga pulih seperti sedia kala.

“Saya terpaksa berulang-alik ke HSNZ dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk membolehkan Nurul Khatyjah menjalani terapi.

“Pendapatan saya dan suami tidak seberapa dan kami tidak mampu menanggung beban kos rawatan hospital dan perbelanjaan ulang-alik hospital,” katanya.

Nurhayuti berkata, dia berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang menjenguk keadaan Nurul Khatyjah, sekali gus membincangkan bantuan yang boleh disalurkan.

Bagi yang ingin membantu meringankan penderitaan ditanggung Nurul Khatyjah boleh menghubungi keluarganya di talian 01140338421.

myMetro 30 Oktober 2015

0 comments:

Post a Comment