October 31, 2015

Jatuh lepas tampar

LOKASI kejadian mangsa ditemui mati.

Ampang: “Saya tidak tahu apa masalah sebenarnya kerana dia tinggal seorang diri dan jarang balik ke rumah keluarga,” kata Balbir Singh, bapa kepada Jaspal Kaur, 28, yang maut selepas terjatuh di lereng bukit setinggi 50 meter di Taman Bukit Permai, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa difahamkan bergaduh dengan teman lelakinya sebelum terjatuh di lereng bukit dipercayai selepas ditampar suspek berusia 35 tahun itu.

Balbir, 65, berkata, anak ketiga dari empat beradik itu jarang menghubungi mereka sejak berpindah dari rumah keluarganya di Shah Alam sebaik tamat sekolah menengah.

“Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya masalah yang dia hadapi, tetapi saya berharap individu yang bertanggungjawab akan dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Superintendan Mohd Nazri Zawawi berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bergaduh dengan teman lelakinya di tepi bukit berkenaan.

Menurutnya, ketika bertengkar, suspek menampar mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh di lereng bukit.

“Mangsa maut selepas mengalami kecederaan serius di kepala akibat impak terjatuh dari tempat tinggi dan kematian disahkan anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

“Teman lelaki mangsa sudah ditahan hari ini (semalam) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro 31 Oktober 2015


Saya tak sengaja, saya nak kahwin dengannya

Kuala Lumpur: Seorang perunding jualan kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini, berhubung kematian teman wanitanya yang terjatuh di lereng Bukit Permai, Ampang, bulan lalu.

Sharminder Singh Christi Anthony, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Unaizah Mohd.

Dia didakwa menyebabkan kematian Jaspal Kaur Balbir Singh, 28, di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Ampang, di sini pada 12.15 malam, 30 Oktober lalu, mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan serius dan tertuduh berkemungkinan melarikan diri.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia tidak sengaja melakukan perbuatan itu kerana keadaan konkrit yang licin ketika kejadian.

"Saya tidak berbuat apa-apa kerana konkrit itu licin, saya minta jamin, saya ada keluarga untuk tanggung, saya juga kehilangan orang yang saya sayang (mangsa)," katanya.

Tertuduh yang memakai kemeja lengan pendek berwarna kelabu juga berkata dia mempunyai dua anak berusia 11 dan lapan tahun hasil perkahwinan pertamanya yang kini dalam proses perceraian dan merancang berkahwin dengan mangsa depan.

Hakim Unaizah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut akibat terjatuh dari lereng bukit di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai selepas dipercayai bergaduh dengan teman lelakinya.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa terjatuh dari ketinggian 26 meter dari lereng bukit itu. - Bernama

myMetro 6 November 2015

0 comments:

Post a Comment