October 30, 2015

Gambar terakhir sebelum lemas

Gambar Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, yang dirakam keluarganya beberapa minit sebelum dia lemas di Pantai Irama, Bachok. - Foto NOR AMALINA ALIAS

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu melakukan usaha mencari Muhammad Azwan Arif Azmi, 8

Bachok: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Irama di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff berkata Muhammad Azwan Arif Azmi dari Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kota Baharu, hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di pantai itu pada jam 10.30 pagi.

"Mangsa dipercayai dihanyutkan ombak besar ke sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seramai 21 anggota mencari dan menyelamat (SAR) seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang melancarkan gerakan mencari mangsa.

Muhammad Khairu berkata operasi mencari mangsa agak sukar disebabkan ombak besar dan angin kencang.

Sementara itu, bapa mangsa Azmi Mohammad, 54, berkata anak kedua daripada empat beradik itu meminta izin untuk mandi di pantai berkenaan.

“Dia kata nak datang mandi pantai sekali ni sahaja. Jadi saya benarkan dia pergi," katanya yang mengetahui kejadian menimpa anaknya ketika sedang memasak bubur asyura bersama penduduk kampung.

Seorang jiran mangsa yang sama-sama mandi di pantai itu, Muhammad Muaz Yusof, 19, berkata sebaik tiba di pantai pada jam 8 pagi, mereka terus mandi dan selepas beberapa jam kemudian mereka naik ke darat untuk bergambar sambil menunggu pakaian kering sebelum pulang ke rumah dan mereka sempat merakam gambar mangsa.

“Ketika itu mangsa turun semula untuk mandi bersama seorang rakannya, Muhammad Adam Haikal Yusof, 9. Muhammad Adam hampir lemas tetapi saya sempat menariknya ke darat tetapi Muhammad Azwan sudah tiada," katanya. - Bernama

30 Oktober 2015


Muhammad Azwan sudah ditemui


Bachok: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui lemas di Pantai Irama, di sini, kira-kira 12.10 tengah hari, hari ini.

Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, ditemui pasukan penyelamat di sekitar 1.39 batu nautika dari pantai Kubang Golok, Pantai Irama.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bachok, Mohammad Khairu Yusoff, berkata operasi mencari dan menyelamat itu bermula 10.30 pagi semalam, selepas dimaklumkan mangsa lemas dan berhenti pada 6.30 petang.

"Hari ini, kita mula operasi pada 8 pagi dan menemui mangsa di sekitar 1.39 batu nautika oleh Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang turut membantu membuat rondaan dengan menggunakan bot.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa bersama abangnya, Muhammad Amar Faiz, 11, dan dua rakan iaitu Muhammad Muaz Jusoh, 19, dan adiknya, Muhammad Adam Haiqal, 9, ke pantai berkenaan, 8 pagi semalam, untuk mandi sebelum dkhuatiri lemas.

myMetro 31 Oktober 2015

0 comments:

Post a Comment