October 31, 2015

Calon SPM maut jatuh tali air


ARAU - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati di dalam tali air di Kampung Telaga Haji Latif, di sini, tengah malam semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Muhammad Safiuddin Harun, 17, ditemui rakannya di bawah motosikal di dalam tali air tersebut yang terletak satu kilometer dari rumahnya di Kampung Behor Mempelam kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Abang mangsa, Muhammad Husaini, 27, berkata, adiknya dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin untuk memancing bersama rakannya.

Menurutnya, sebelum pulang, rakan adiknya itu ada memaklumkan mangsa pergi menghantar kail yang dipinjam daripada rakannya.

"Lepas itu, adik saya tak balik rumah membuatkan kami sekeluarga mula bimbang.

"Kami risau sebab arwah ada sakit sawan. Lepas Maghrib kami dan rakan arwah keluar cari dia sehinggalah kami dimaklumkan motor adik dijumpai dalam tali air," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), semalam.

Muhammad Husaini berkata, dia bersama bapanya, Harun Ismail, 58, segera ke lokasi dan menjumpai mangsa yang sudah tidak bernyawa di bawah motosikal.

Kakak mangsa, Farhana Harun, 25, berkata, adiknya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu seorang pemalu tetapi ringan tulang membantu keluarga.

Menurutnya, adiknya pandai mencari duit sendiri dengan membantu kerja di sawah selain pernah menyatakan hasrat mahu mencari kerja selepas tamat SPM.

"Sebelum keluar memancing dia ada bergurau dengan kami adik-beradik yang kebetulan bercuti. Kemudian dia keluar memancing yang jadi rutinnya setiap petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis  Daerah Arau, Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, mangsa menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di dalam tali air di antara jam 8 malam hingga 1 pagi semalam.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Forensik HTF untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian 31 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment