October 30, 2015

Anak cungap bernafas

Tuan Saripah melihat anaknya, Tun Raisha Afrina yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati.

Kuala Nerus: “Setiap kali dia tidur, saya akan pastikan dia tidak terganggu dan terjaga kerana ketika itu saja penderitaannya tidak terlihat,” kata Tuan Saripah Nor Shahirah Tuan Ibrahim, 21, ibu kepada Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid, bayi berusia setahun yang menghidap Biliary Atresia iaitu masalah kegagalan fungsi hati.

Saripah berkata, dia sedih melihat keadaan anak perempuannya yang sukar bernafas selain perutnya semakin membesar disebabkan penyakit dihidapi sejak lahir itu.

“Setiap saat melihat Raisha bernafas akan membuatkan saya sedih dan lebih menyedihkan, Raisha tidak membesar normal seperti kanak-kanak lain cuma perutnya semakin membesar.

“Saya hilang arah untuk merawat Raisha, semua jenis perubatan termasuk perubatan tradisional dicuba, namun ia tidak memberi kesan terhadap penyakit itu selain menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Kos untuk menjalani pembedahan di China sebanyak RM160,000 iaitu kos paling rendah berbanding di India dan Singapura menyebabkan kami buntu untuk mencari wang sebanyak itu bagi memastikan Raisha secepat mungkin menjalani rawatan yang sepatutnya,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, semalam.

Menurutnya, Raisha pernah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada usia 55 hari tetapi tidak menampakkan kesan positif dan difahamkan hanya melalui pembedahan pemindahan hati saja boleh merawatnya.

“Sehingga sekarang dengan bantuan orang ramai di samping duit simpanan, kami hanya mampu mengumpul RM30,000 dan ia belum mencukupi untuk menghantarnya ke China.

“Setiap malam saya dan suami berdoa hasrat kami mengumpul dana perubatan Raisha tertunai, kerana kami tidak mampu melihat penderitaannya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa anaknya itu dan menghulurkan bantuan untuk perbelanjaan pembedahan Raisha secepat mungkin.

Menurutnya, dia akan meneruskan usaha bagi mengumpul dana memastikan anaknya itu mendapat rawatan terbaik biarpun terpaksa bekerja lebih masa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi keluarga berkenaan di talian 013- 9368452 atau 014 -5141512.

myMetro 30 Oktober 2015


Raisha sambut ulang tahun pertama

KUALA NERUS – Pesakit Biliary Atresia, iaitu sejenis penyakit di mana terdapat ketidakwujudan sistem hempedu luar, Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid, selamat menyambut ulang tahun kelahiran pertama semalam.

Nur Raisha Afrina anak kepada pasangan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim, 21, dan Tun Mohd Yazid Tun Zaid, 26, kini masih menunggu jumlah wang mencukupi untuk melakukan pembedahan bagi penyakit yang dihidapinya sejak lahir itu.

“Hari ini (semalam) genap umur Raisha setahun dan sebagai ibu saya adalah orang gembira kerana usianya telah mencecah setahun, walaupun terpaksa bertarung dengan penyakit yang dialaminya.

“Namun, sebagai ibu, saya hanya mampu mendoakan dia segera sihat dan harapan untuk melakukan pembedahan segera akan tertunai, sekaligus ingin melihatnya sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, ketika ini dia masih lagi menunggu tarikh untuk membuat temujanji dengan doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk mengenai status sebenar kesihatan anaknya itu.

“Selain alternatif untuk membuat rawatan dan pembedahan di China yang memerlukan kos dianggarkan RM160,000, kami sekeluarga juga berusaha untuk memastikan Raisha diberi rawatan sebaiknya.

“Sejak kisah Raisha dipaparkan dalam Sinar Harian lebih sebulan lalu, jumlah wang terkumpul hasil sumbangan orang ramai kini adalah kira-kira RM50,000,” katanya.

Raisha kini memerlukan RM110,000 lagi bagi membolehkan dia menjalani pembedahan itu, sekali gus memberinya harapan untuk menjalani hidup sebagaimana kanak-kanak lain seusianya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank (163019831792), CIMB (7616016942) Bank Rakyat (221161095105) atas nama Tuan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim.

Sinar Harian 11 Nov 2015


Raisha perlukan RM100,000 lagi

Raisha bersama kedua ibu bapanya ketika menyambut ulang tahun kelahiran pertama minggu lalu.

KUALA NERUS - Saripah Nor Shahirah Tuan Ibrahim, iaitu  ibu kepada Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid yakin anaknya yang sedang menderita penyakit Biliary Atresia mampu sembuh sekiranya berjaya menjalani pembedahan seperti mana dirancang sebelum ini.

Menurut Saripah Nor Shahirah, penyakit yang dialami anaknya itu dikesan sejak dia dilahirkan dan kini hospital di China antara yang dipilih setakat ini.

"Selain menanti wang hasil sumbangan orang ramai mencukupi, kami juga akan membawa Raisha untuk bertemu doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami tahu untuk mendapat giliran itu agak lama, jadi kami mencari alternatif lain dengan cuba untuk mendapatkan rawatan di luar negara. Hospital di China menjadi pilihan kerana selain mempunyai pakar, kos rawatan yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding di Singapura dan beberapa negara yang lain,” katanya.

Katanya lagi, apa yang dapat dilakukan ketika ini adalah memohon derma daripada orang ramai dan ketika ini jumlah sumbangan yang terkumpul hampir mencecah RM60,000.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Raisha memerlukan RM160,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan di luar negara seberapa segera.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank (163019831792) CIMB (7616016942) dan Bank Rakyat (221161095105) di atas nama Tuan Nor Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim.

Sinar Harian 17 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment