September 16, 2015

Terpaksa tinggal di rumah usang


Jamilah menunjukkan rumah pusaka yang semakin usang.

MERBAU PULAS - Kemiskinan yang membelenggu sembilan sekeluarga di Kampung Beka di sini menyebabkan mereka tidak mampu membaik pulih kediaman berusia lebih 20 tahun.

Jamilah Yahya, 41, berkata, rumah pusaka suaminya, Hassan Shafie, 54, itu dibina berasaskan kayu menyebabkan ia semakin reput dimakan anai-anai.

Menurutnya, mereka bersama tujuh lagi anak berusia antara lima bulan hingga 23 tahun terpaksa mendiami rumah berkenaan walaupun keadaannya tidak kukuh.

“Ini rumah pusaka suami, tanah ini pun menumpang saudara mara saja. Bahagian kayu di atas dijadikan bilik, dan bahagian bawah ini jadi ruang tamu dan dapur.

“Apabila hujan, air akan masuk menerusi bumbung yang bocor dan kalau angin kuat memang saya rasa tak selamat duduk di dalam rumah bimbang bumbung diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamilah berkata, pendapatan suaminya sebagai pemotong kelapa sawit sebanyak RM600 sebulan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Jelasnya, kadangkala suaminya terpaksa meminjam kepada rakan-rakan untuk memastikan tiga anaknya dapat ke sekolah dan mempunyai wang saku untuk dibelanjakan.

“Sekarang susah orang nak upah pekerja dari sini lebih ramai pilih warga Indonesia, jadi persaingan tinggi, kalau hari hujan pula dan kelapa sawit kurang memang tak adalah sumber pendapatan.

“Anak yang tingkatan tiga dan dua akan bawa RM5 sehari, untuk tambang bas dan makan, yang sekolah rendah pula RM2 sehari, kalau ikut logik gaji ayah mereka memang tak cukup.
Tapi nak bagi mereka sekolah terpaksa tebal muka pinjam daripada kawan-kawan,” katanya.

Dalam pada itu, Jamilah berkata, walaupun permohonan untuk mendapatkan rumah bantuan kerajaan sudah banyak kali dilakukan namun sehingga hari ini hanya tinggal harapan.

“Banyak kali sudah suami mohon bantuan itu, ada yang datang ambil gambar, dan mereka janji rumah sudah dapat, tapi sampai ke hari ini tak ada,” katanya.

Manakala anak ketiga daripada tujuh beradik, Norsabrina Hassan, 19, berkata, walaupun dia menyimpan hasrat untuk meneruskan pelajaran selepas tamat tingkatan lima namun terpaksa dipendam memandangkan keluarganya kurang mampu.

“Memang saya sedih dan cemburu melihat rakan sebaya dapat sambung belajar, saya pula terpaksa lupakan hasrat itu.

“Saya harap adik-adik nanti tak terima nasib seperti saya. Saya akan berusaha supaya mereka berjaya, dan boleh tolong keluarga satu hari nanti,” katanya.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment