September 16, 2015

Tak sempat tolong rakan

Ampang: Niat murni seorang ahli perniagaan mahu membantu rakannya yang terbabit kemalangan motosikal bertukar tragedi apabila mangsa sebaliknya maut tercampak daripada motosikal berkuasa tinggi ditunggang.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari semalam, mangsa, Kasharulazwan Saidi, 33, yang menunggang motosikal Kawasaki Z250 bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Enggang, Taman Keramat.

Mangsa sebelum itu dikatakan menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang meminta pertolongan kerana terbabit kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Tanpa membuang masa mangsa segera bergegas untuk membantu rakannya dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi dari rumahnya di AU2 Keramat, di sini.

Jurucakap trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya memberitahu, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila MPV dipandu seorang wanita dari arah bulatan Keramat AU arah pusat bandar memasuki simpang sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa.

“Mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu sebelum tercampak,” kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata, ekoran kemalangan itu Kasharulazwan parah di muka dan kepala serta maut di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 16 September 2015

0 comments:

Post a Comment