September 16, 2015

Sangka anak sakit kepala biasa


KUALA NERUS – Hati mana yang tidak pilu apabila mendapat tahu anak yang disayangi disahkan menghidap kanser otak, namun itulah hakikat ujian ALLAH SWT yang harus dihadapi pasangan Wan Mohd Azry Wan Ahmad, 38, dan Azzyanti Harun, 39.

Anak kedua daripada empat beradik, Wan Nur Hunina Afifah, 8, mula dikesan menghidap penyakit kronik itu pada Februari lalu dan bertambah kritikal pada hujung Ogos, yang mana murid SK Tok Jiring itu kini hanya mampu terlantar di atas katil.

Lebih malang lagi, ketumbuhan pada otak Wan Nur Hunina turut disahkan kategori aktif dan cepat membengkak, di mana ia perlu dibedah segera bagi mengelak keadaan bertambah teruk.

Kata Wan Mohd Azry, dia tidak sangka perubahan sikap anaknya yang tak selincah dahulu dan kerap mengadu sakit kepala disebabkan ketumbuhan pada otaknya.

“Sebelum ini dia kerap mengadu sakit kepala dan saya sangka hanya sakit biasa.. tapi lama-lama keadaan dia makin teruk sehinggalah saya bawa dia ke hospital dan doktor sahkan anak saya hidap kanser otak.

“Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya dan isteri kerana tak sangka sakit yang kami anggap biasa itu sebenarnya kanser,” katanya yang mengakui terkejut dengan pengesahan doktor.

Malah, menurut Wan Mohd Azry, doktor turut meminta agar pembedahan dilakukan segera bagi membuang ketumbuhan yang aktif, tetapi ia terpaksa ditangguhkan empat kali berikutan kesihatan anaknya yang tidak stabil.

“Insya-Allah, anak saya akan jalani pembedahan pada 18 September ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang menyumbang bantuan berjumlah RM60,000 melalui Tabung Pesakit Kronik.

“Saya harap pembedahan kali ini dapat berjalan lancar kerana saya sudah tak sanggup untuk lihat anak saya tanggung derita.. dia kini tak mampu untuk buat apa-apa, hanya terbaring atas katil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan sumbangan tersebut di kediaman Wan Mohd Azry di Kampung Tok Jiring, di sini, semalam.

Johari turut memaklumkan kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat termasuk salurkan bantuan kepada mereka memerlukan.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment