September 16, 2015

Paling dahsyat dalam 20 tahun

KUALA TERENGGANU - Penduduk di Taman Permint Jaya dan Lot Perpindahan di Chendering di sini, gempar selepas dilanda angin kencang yang luar biasa dan hujan lebat, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai puting beliung.

Ribut yang berlaku bermula sekitar jam 6 petang kelmarin turut menumbangkan berpuluh batang pokok di sekitar kawasan itu, termasuk tiang elektrik patah dan tumbang, sekali gus telah menyebabkan kawasan terbabit terputus bekalan elektrik.

Kejadian yang berlaku dalam masa kurang 15 minit itu turut menyebabkan 28 buah rumah termasuk surau dan masjid di kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk apabila bahagian bumbung diterbangkan angin kencang.

Kerosakan tidak terhenti setakat itu apabila peralatan dalam rumah mangsa terbabit juga rosak akibat ditimpa hujan lebat, malah kebanyakan mangsa menyifatkan kejadian ribut itu paling dahsyat dalam tempoh 20 tahun.

Bekalan elektrik terputus

Menurut seorang penduduk, Rahimah Adam, 58, berkata, semasa kejadian dia berada di dapur menyediakan minum petang untuk keluarga tetapi pada waktu itu hujan lebat dan turut disusuli petir.

“Tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan saya segera ke hadapan rumah untuk melihat keadaan suami (Yusof Mohd Zin, 61) yang mengalami strok (sejak tiga bulan lalu) yang ketika itu sedang mendapatkan rawatan fisioterapi, bimbang kalau-kalau dia terkejut.

“Apabila melihat di luar rumah pula, saya dapati ‘awning’  (sengkuap) diterbangkan angin tetapi tidak tahu ke mana. Bimbang keadaan bertambah teruk saya segera mengalihkan dua buah kereta yang terletak di kawasan parkir.

“Selepas itu barulah saya tinjau di tempat lain dan didapati sebuah bilik di tingkat atas, atap gazebo serta beberapa kawasan lain rosak teruk,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami berjumlah lebih RM30,000.

Menurutnya, tiang elektrik berdekatan rumah turut menghempap saluran air yang menghubung ke kediamannya menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berlindung di dalam rumah dalam keadaan bergelap, manakala bekalan air pula terputus sehingga pagi semalam.                                      

Lihat atap rumah melayang, pintu kaca berderai

Seorang lagi mangsa, Mohd Abdul Rahman, 47, pula berkata, semasa kejadian dia berada di rumah dan melihat sendiri atap rumahnya melayang, manakala pintu kaca rumah juga pecah berderai.

“Melihat keadaan itu, saya segera bawa ibu (Khatijah Yusof, 72,) keluar dari rumah kerana bimbang perkara tidak dingini berlaku. Ia kejadian ribut paling teruk setakat ini kerana melibatkan banyak rumah. Habis atap rumah penduduk rosak,” katanya.

Mohd Taib, 55, pula berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan memaklumkan, ribut melanda berserta hujan lebat.

“Saya dihubungi oleh isteri (Zaini Mohd Ali, 53) memaklumkan rumah terkena ribut. Saya segera pulang untuk melihat keadaan sebenar. Alhamdulillah, mereka selamat dan hanya beberapa keping atap di bahagian bilik dan di luar tercabut,” katanya yang bekerja sebagai pemandu.

Buka pejabat operasi untuk aduan

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Taman Permint Jaya, Ahmad Zamri Sulong mengesahkan menerima laporan kejadian dan sehingga semalam, pihaknya menerima 28 laporan kes kerosakan atap serta awning rumah.

Menurutnya, aduan mengenai pokok tumbang turut diterima daripada penduduk berlaku di dua kawasan di bawah pentadbirannya itu.

“Kita akan hantar laporan segera kepada Pejabat Penyelaras Dun Batu Burok dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan cadangkan supaya meluluskan segera peruntukan kepada mangsa.

“Malah kita juga buka pejabat operasi (semalam) bagi memudahkan penduduk membuat aduan,” katanya.

Bagi penduduk yang ingin membaiki sendiri kerosakan, mereka boleh membuat tuntutan semula dengan menggunakan resit pembelian barangan untuk membaiki kerosakan rumah dialami akibat bencana itu.

Pokok mangga hempap lori

Armizi Seman, 35, pula berkata, dia baru sahaja sampai di rumah bersama keluarga di kediamannya di Chendering dan sempat mengangkat barang-barang dari lori sebelum mereka sekeluarga masuk ke dalam rumah.

“Tiba-tiba angin dan ribut kuat, terasa seolah-olah bumbung rumah turut terbang disusuli pula dentuman yang kuat, seolah-olah  menghempap sesuatu. Ia berlaku dalam tempoh singkat sahaja. Saya sempat melihat keadaan dalam rumah, tiada apa yang berlaku.    

“Tetapi apabila melihat di luar, rupa-rupanya sebatang pokok mangga telah menghempap belakang lori dan terkena sebahagian atap garaj kereta. Jika bukan lori, mungkin dua kereta yang diletakkan di garaj pula menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, lori tersebut adalah untuk kegunaan di butik pelamin milik isterinya dan baru dibeli beberapa bulan lalu, namun mereka sekeluarga bersyukur kerana terselamat dan lori tersebut hanya rosak pada bahagian belakang serta masih boleh digunakan.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment