September 16, 2015

Mohon dana siap surau


Majlis peletakan batu asas surau dan tahfiz di Manek Urai Lama.

KUALA KRAI - Surau Ayah Haji Man di Manek Urai Lama, dekat sini, yang dalam pembinaan, memerlukan sumbangan orang ramai bagi menyiapkannya dalam tempoh dijangkakan iaitu hujung tahun ini.

Pengerusinya, Nik Aziz Nik Man berkata, surau itu dibina selepas surau lama musnah dalam kejadian banjir hujung tahun lalu, bagi membolehkan masyarakat setempat dapat berjemaah semula di sini.

Menurutnya, surau itu kini bukan sahaja bakal dijadikan tempat untuk solat lima waktu, malah sebagai lokasi Tahfiz Mutiara untuk menempatkan pelajar lelaki pada peringkat awal penubuhan.

“Surau ini juga dibina semula untuk kemudahan penduduk setempat solat berjemaah memandangkan tidak ada surau berdekatan.

"Surau lain terletak di Lepan Jenut, tiga kilometer dari sini yang agak jauh, sekali gus menyukarkan penduduk berulang-alik,” katanya.

Menurut Nik Aziz, surau itu dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk disiapkan.

Katanya lagi, pembinaan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama NGO, Pertubuhan Alumni Anak Kelantan ITM 80-an (Akissa 80-an) yang turut mencari dana untuk membina surau itu.

“Sehingga kini, kita mempunyai peruntukan sebanyak RM20,000. Jadi, saya harap orang ramai dapat menyalurkan bantuan masing-masing ke akaun surau ini,” katanya.

Majlis peletakan batu asas dan pelancaran tabung pembinaan surau dan pusat tahfiz Surau Ayah Haji Man di Chabang Tiga Kuari Manek Urai Lama dirasmikan wakil Adun Manek Urai.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment