September 16, 2015

Jom ikut ‘pakcik’ balik

IPOH - Kehilangan dua kanak-kanak lebih 24 jam akhirnya terjawab apabila mereka didakwa mengikut seorang lelaki berusia 60-an menaiki motosikal di Flat Ashby, di sini, semalam.

Ibu mangsa, Suryahanim Naruzzaman, 27, berkata, anaknya, Mohammad Aiman Abdullah, 6, bersama rakannya, Nurul Syazawani, 9, bermain di surau berhampiran.

Menurutnya, ia lokasi terakhir mereka dilihat sehinggalah ditemui semula seorang penduduk di sebuah sekolah berhampiran kediaman mereka.

“Apabila ditanya, Aiman beritahu dia ikut lelaki berkenaan yang dipanggilnya pakcik balik ke rumah di Batu Gajah sebelum dihantar semula hari ini (semalam) di sekolah berhampiran.

“Mereka ditinggalkan di tepi jalan dan nasib baik penduduk berhampiran jumpa.

"Tapi saya agak terkejut dengan keadaan mereka yang comot diselaputi tanah kering,” katanya.

Suryahamin berkata, Mohammad Aiman memaklumkan lelaki berkenaan mengumpan mereka mengikutinya bagi menghadiri majlis perkahwinan.

“Saya agak terkejut apabila Aiman kata dia ditampar lelaki itu sebab dia menangis tidak henti-henti. Tapi mujurlah, lepas saya periksa tiada sebarang kecederaan pada badannya.

“Saya bersyukur sebab Aiman dan Wani dapat dijumpai semula dalam keadaan selamat. Selepas ini, saya akan berhati-hati supaya Aiman tidak lagi mengikuti lelaki yang tak dikenalinya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin, Mohammad Aiman dan Nurul Syazawani yang bermain di kawasan surau berhampiran disedari hilang selepas mereka tidak pulang ke rumah untuk makan malam.

Pencarian di kawasan berhampiran menemui jalan buntu menyebabkan Suryahanim membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam.

Kehilangan mereka turut diviralkan dalam laman sosial sebagai usaha untuk mengesan kanak-kanak terbabit.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment