September 16, 2015

Hampir dua bulan tidak makan

Hampir dua bulan tidak makan Ilias (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Che Mat.

BERIS KUBUR BESAR  – Seorang warga emas di sini mengalami masalah kurang selera makan sejak Hari Raya Aidilfitri lalu, namun pada masa sama, perutnya semakin membesar.

Che Mat Daud, 61, memaklumkan, dia pernah dimasukkan ke hospital selama seminggu dan hasil ujian imbasan sinar X (X-Ray) mendapati terdapat sesuatu berwarna putih dalam perutnya.

Dia yang turut menghidap penyakit kencing manis berkata, doktor memaklumkan bahawa dia mungkin menghidap penyakit barah usus.

"Buat masa ini saya hanya berubat cara kampung dan bomoh memberitahu, saya mungkin menghidap penyakit buah pinggang tahap empat. Saya cuba amal minum air rumput Cina.

"Pada awal mengamalkan minum air rumput Cina, saya kerap buang air besar...mungkin ia mencuci bahagian usus. Namun tetap tidak berselera makan," katanya yang kini dijaga oleh isterinya, Nik Yah Sulaiman, 63.

Che Mat ditemui sewaktu diziarahi Penyelaras Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Husain bersama Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Tanjung Jering, Mohd Yasin Hamzah di rumahnya, di sini.

Sementara itu, anaknya, Che Zamri memaklumkan, Che Mat enggan ke hospital untuk meneruskan rawatan susulan kerana bimbang jika pembedahan dilakukan, lukanya akan lambat sembuh.

"Dulu kaki ayah pernah dibedah dan mengambil masa selama tiga tahun untuk sembuh. Dia tak mahu perkara macam tu berulang dan dia nak cuba cara kampung lebih dahulu. Kami ikutkan sahaja kehendaknya.

"Sekarang pun kaki ayah masih bengkak. Kami tak pasti apa masalah sebenar dan hanya berdoa agar ia cepat sembuh melalui perubatan alternatif yang dijalaninya," katanya.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment