June 28, 2015

Tatapan terakhir isteri David Faramola

Kota Bharu: Isteri kepada Kapten T-Team, Rogozina Lyubov, 25, tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) 6.40 petang tadi untuk melihat mayat mendiang suaminya, David Faramola Oniya, 30.

Rogozina meluangkan masa lima minit melihat mayat mendiang suaminya sebelum pulang ke Kuala Terengganu.

Beliau ketika ditemui kelihatan sedih dan enggan ditemu bual.

Mayat Oniya dijangka dituntut oleh isterinya bersama bapa pemain pertahanan T-Team itu James Oniya Sabtu ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemain import The Titans, Oniya sempat bermain selama tiga minit sebaik sepak mula perlawanan persahabatan di antara Kelantan menentang T-Team Ahad lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Pemain import itu dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung ketika dikejarkan ke HRPZII untuk mendapatkan rawatan.

myMetro 16 Jun 2015


‘Mereka lebih berhak...’

Kuala Terengganu: “Keluarganya lebih berhak menuntut mayat mendiang David Faramola Oniya, jadi biarlah mereka membawa pulang ke Nigeria.

“Kedatangan saya bersama anak hanyalah semata-mata mahu menatap wajah suami buat kali terakhir,” kata isteri Oniya, Lyubov Rogozina, 25.

Rogozina bersama anaknya, Enjel, 5, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, pada jam 3.30 petang, semalam, dan disambut pengurusan T-Team serta dua pemain, Farhod Tadjiev dan Sadriddin Abdullaev.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dengan menaiki kenderaan pengurusan T-Team.

Begitupun, Rogozina yang lahir di Russia dan menetap di Uzbekistan enggan mengulas lanjut kerana masih bersedih dan terkejut dengan kematian mengejut suaminya itu.

Semalam, akhbar ini melaporkan tuntutan mayat mendiang Oniya dikatakan menjadi rebutan apabila Rogozina mahu mayat terbabit dihantar ke Uzbekistan.

Namun, bapa bekas pemain pertahanan itu meminta mayat mendiang Oniya dihantar pulang ke kampung kelahirannya di Lagos, Nigeria.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pihaknya membawa isteri Oniya ke Kota Bharu selepas tiba di Kuala Lumpur dari Uzbekistan, semalam.

“Kita masih menunggu bapa Oniya, James Oniya dan ejen pemain, Felix Ndukwu yang dijangka tiba di sini, Sabtu ini,” katanya.

myMetro 17 Jun 2015


Kapten rebah di padang

FOTO Normeezan Muhd Nordin dan pembaca Harian Metro

Kota Bharu: Ketua pasukan T-Team, David Faramola Oniya, 29, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain ketika dihubungi, di sini.

Syahrizan berkata, Oniya meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Oniya sebelum itu mengetuai pasukan untuk perlawanan persahabatan menentang Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, yang bermula jam 8.45 malam.

"Ketika permainan memasuki minit ketiga, dia tiba-tiba rebah dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan. Ketika itu, keadaannya 50-50.

"Permainan masih diteruskan sehingga kami menerima panggilan daripada Penolong Ketua Jurulatih Azahari Salim, memaklumkan Oniya sudah tiada, kira-kira 10 malam," katanya.

Beliau berkata, permainan diberhentikan serta merta dan ketika ini pengurusan menunggu sehingga jasad mendiang selesai menjalani bedah siasat sebelum dihantar pulang.

Katanya, Oniya pemain kelahiran Nigeria meninggalkan seorang balu dan anak berusia tiga tahun yang berada di Russia.

"Sebelum ini, dia tidak pernah mengadu apa-apa sakit, melainkan pernah menjalani pembedahan kecil akibat retak tulang pipi kanan ketika perlawanan menentang Pulau Pinang, Februari lalu," katanya.

Sementara itu, Seorang lagi pemain T Team, Faizal Mohamad dimasukkan ke hospital sama selepas cedera di kepala akibat berlanggar dengan pemain import Kelantan, Gilmar Jose Dos Santos Filho.

Akibat perlanggaran itu Faizal menerima enam jahitan dan dilaporkan stabil. Semua pemain T-Team pulang ke Terengganu, 11.30 malam tadi.

Perlawanan terbabit dimenangi Kelantan 3-2.

myMetro 14 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment