June 28, 2015

Jalan licin ragut nyawa

Bentong: Seorang wanita maut selepas kenderaan dipandu terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 3, Jalan Lebu-Mempaga, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa, Zanariah Shahruddin, 42, dari Kampung Lebu, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama anaknya, Muhamad Ashraff Kamaruddin, 4, dalam perjalanan dari Lebu menuju ke bandar ini.

“Zanariah yang memandu Perodua Viva dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan keretanya bergesel dengan kenderaan lain yang dipandu seorang lelaki.

“Akibatnya mangsa yang bekerja sebagai kerani kilang terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok menyebabkannya tersepit di tempat duduk depan kenderaan itu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba sebelum dihantar ke Hospital Bentong, di sini, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Muhamad Ashraff hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya.

myMetro 18 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment